Skip to main content

Singapura

Singapura akan aktifkan semula TraceTogether dan SafeEntry 'jika keadaan memerlukan': Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 May 2022 06:50PM Dikemas Kini : 10 May 2022 12:17AM

SINGAPURA: Walaupun situasi COVID-19 di Singapura sudah stabil, orang ramai tidak seharusnya memadam aplikasi TraceTogether atau membuang token mereka kerana langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi negara akan dipertingkatkan jika perlu, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

"Kita mengambil sikap berhati-hati, 'melonggarkan tetapi tidak menarik balik sepenuhnya' langkah-langkah kesihatan awam kita. Jika keadaan memerlukan, kita perlu mempertingkatkan (langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi), dan mengaktifkan semula TraceTogether dan SafeEntry,” kata beliau di Parlimen pada Isnin (9 Mei).

Beliau menambah bahawa ini bergantung kepada betapa buruknya keadaan dan "berdasarkan pertimbangan".

“Kita perlu mengambil kira sama ada terdapat varian baru yang membimbangkan, sama ada ia lebih teruk atau lebih mudah berjangkit daripada Omicron, sama ada jangkitan lalu dan vaksin yang ada sekarang dapat terus memberikan perlindungan yang kukuh terhadap varian baru itu, dan bagaimana semua itu menjejas kapasiti hospital kita,” kata beliau.

"Saya boleh faham bahawa sebilangan anggota masyarakat mahu sebuah sistem yang telus dan faktor pencetus yang jelas tetapi ini tidak mungkin dalam krisis pandemik dengan penuh ketidaktentuan," katanya.

"Kita melakukan apa yang perlu untuk melindungi nyawa apabila bahaya menimpa kita, dan kita akan melonggarkan langkah-langkah apabila ia tidak lagi diperlukan, tidak lagi perlu, agar orang ramai dapat meneruskan kehidupan biasa mereka."

Menjawab soalan Anggota Parlimen Mountbatten, Lim Biow Chuan tentang sama ada individu yang belum lengkap divaksin dibenarkan memasuki pusat membeli-belah dan menjamu selera di kedai makanan dan minuman (F&B), Encik Ong menjelaskan bahawa mereka boleh memasuki pusat membeli-belah kerana langkah-langkah sudahpun 'dilonggarkan' lagi untuk golongan yang belum lengkap divaksin.

Walau bagaimanapun, dengan kemungkinan 'tinggi' berlakunya gelombang jangkitan seterusnya dan ancaman varian baru, Encik Ong berkata ada perlunya untuk terus berhati-hati.

Itulah sebabnya langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi terus dilaksanakan di tiga tempat berisiko tinggi: Pusat-pusat hiburan malam yang ada tarian, acara dengan lebih daripada 500 peserta dalam satu-satu masa, dan kedai makanan dan minuman (F&B), yang mempunyai ramai pelanggan yang bergaul tanpa memakai pelitup.

“Bagaimanapun bagi kedai makanan dan minuman (F&B), kita tidak akan menggunakan TraceTogether dan SafeEntry. Sebaliknya pelanggan bertanggungjawab untuk memastikan mereka sudah lengkap divaksin sebelum melanggani kedai makanan dan minuman (F&B),” katanya sambil menambah bahawa Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) akan terus menyemak langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi mengikut keadaan pandemik yang berubah-ubah.

RANGKA KERJA DORSCON AKAN DISEMAK

Menjawab soalan mengenai rangka kerja Keadaan Sistem Respons Wabak Penyakit (DORSCON), Encik Ong berkata walaupun rangka kerja itu "besar kemungkinan masih lagi relevan", ia perlu menjadi sebahagian daripada rangka kerja persiapan kecemasan dan komunikasi awam yang lebih besar.

Beliau memberi contoh bagaimana pengumuman tahap DORSCON pada fasa awal wabak itu telah menyebabkan pembelian panik di pasar-pasar raya.

Ini adalah isu utama untuk disemak semula, kerana DORSCON bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan, bukan untuk mencetuskan kebimbangan orang ramai,” katanya sambil menambah bahawa rangka kerja itu serta langkah-langkah tindak balas yang dilaksanakan akan dikaji semula selepas COVID-19 berlalu.

Dari sudut perhubungan awam, beliau berkata orang ramai "kurang" memberi perhatian kepada tahap DORSCON tetapi lebih prihatin terhadap butiran-butiran pelbagai langkah kesihatan awam dan bertindak sewajarnya.

"Saya yakin bahawa pada hari ini, kita mempunyai masyarakat yang lebih sofistikated, yang memahami apa yang perlu mereka lakukan apabila pandemik menjadi lebih teruk," kata beliau.

Sumber : CNA/RR/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita