Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapore Flyer kembali beroperasi selepas 4 bulan ditutup; tempoh operasi kini lebih singkat

Singapore Flyer kembali beroperasi pada Jumaat (20 Mac) setelah satu isu teknikal menyebabkannya ditutup selama sekitar empat bulan - iaitu tempoh penggantungan paling lama yang pernah dilaksanakan ke atas daya tarikan roda raksasa itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Singapore Flyer kembali beroperasi selepas 4 bulan ditutup; tempoh operasi kini lebih singkat

Singapore Flyer. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 22 Mar 2020 10:02AM Dikemas Kini : 22 Mar 2020 10:07AM

SINGAPURA: Singapore Flyer kembali beroperasi pada Jumaat (20 Mac) setelah satu isu teknikal menyebabkannya ditutup selama sekitar empat bulan - iaitu tempoh penggantungan paling lama yang pernah dilaksanakan ke atas daya tarikan roda raksasa itu.

Waktu operasi Singapore Flyer bagaimanapun lebih singkat akibat pandemik virus korona COVID-19 yang melanda sekarang.

Pengendalinya, Straco Leisure, menyatakan dalam satu kenyataan bahawa pihak berkuasa sudah memberi kebenaran bagi membolehkan daya tarikan itu kembali beroperasi.

Roda raksasa itu, yang dibuka pada 2008, terpaksa ditutup pada 19 November 2019 atas arahan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) setelah pasukan penyenggaraan Singapore Flyer mengesan isu teknikal pada kabelnya.

Singapore Flyer menyatakan pemeriksaan dan ujian sudah dijalankan di bawah penyeliaan seorang jurutera pakar dan jurutera awam bertauliah bagi memastikan struktur roda raksasa itu kukuh.

Jurucakap BCA, yang mengawal selia permainan hiburan di Singapura, memberitahu Mediacorp bahawa agensi itu memberikan kelulusan pada Khamis (19 Mac) bagi membolehkan operasi disambung semula setelah para jurutera profesional selesai menjalankan pemeriksaan dan ujian yang sewajarnya, dengan mendapatkan hasil yang memuaskan.

WAKTU OPERASI LEBIH SINGKAT

Singapore Flyer mengumumkan bahawa waktu operasi daya tarikan itu akan disingkatkan berkuat kuasa serta-merta, sedang Singapura menangani krisis COVID-19.

Singapore Flyer akan beroperasi dari pukul 3.00 petang hingga 9.00 malam setiap hari, dengan tetamu terakhir dibenarkan masuk pada pukul 8.30 malam.

Biasanya, roda raksasa itu beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 10.30 malam.

Pemeriksaan suhu badan juga dilaksanakan ke atas para tetamu dan kakitangan, menurut pengendali itu. Straco Leisure juga sudah meningkatkan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman di dalam kapsul-kapsulnya serta ruang yang dikongsi bersama dan kemudahan-kemudahan lain.

Pada Januari, Mediacorp melaporkan bahawa penggantungan itu menjejas jumlah pelanggan dan perniagaan-perniagaan di terminal runcit daya tarikan tersebut. Sebilangan penyewa melaporkan bahawa penjualan mereka menjunam sekurang-kurangnya 50 peratus.

Bercakap kepada Mediacorp pada Jumaat (20 Mac), pengurus restoran makanan India, Saffron Dining and Event kendalian syarikat Bhandari, Siti Zulaiha, berkata perniagaannya menjunam 70 peratus pada bulan lalu dan ia bertambah buruk akibat sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan di merata dunia sepanjang wabak COVID-19.

Ini bermakna jumlah pengunjung asing di Singapore Flyer juga berkurangan.

"Kami berharap agar jumlah orang yang mengunjungi Singapore Flyer akan meningkat, mungkin dalam kalangan penduduk tempatan memandangkan kebanyakan negara sudah mengenakan sekatan perjalanan keluar masuk," kata Cik Siti.

Beliau turut mencadangkan agar daya tarikan itu boleh memperkenalkan pelbagai promosi bagi memikat pengunjung tempatan.

Ini bukan kali pertama Singapore Flyer mengalami masalah teknikal.

Pada awal 2018, operasi di daya tarikan itu terpaksa dihentikan selama lebih dua bulan akibat satu isu teknikal. 

Sumber : Today/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan