Singapore Buddhist Lodge derma 30,000 kg beras sempena bulan Ramadan
Badan agama Buddha tempatan, Singapore Buddhist Lodge (SBL), menyumbangkan 30,000 kilogram beras kepada masjid-masjid di seluruh negara sempena Ramadan, meneruskan tradisi yang kini memasuki tahun ke-15.
Majlis penyerahan beras berlangsung pagi tadi (Jumaat, 28 Feb) di Masjid Ba’alwie, dengan kehadiran Datuk Bandar CDC Tenggara, Fahmi Aliman, selaku tetamu terhormat.
Sumbangan bernilai sekitar $130,000 itu akan digunakan untuk menyediakan jamuan iftar sepanjang Ramadan, selain disalurkan kepada keluarga memerlukan menerusi pertubuhan akar umbi dan masyarakat di seluruh Singapura.
"Kami menyumbang sebanyak 30 tan beras sejak lima tahun lalu dan ini dilakukan menerusi sokongan para penderma kami yang menyokong inisiatif ini. Inisiatif ini memanfaatkan semua orang yang berbuka puasa, tanpa mengira bangsa.," kata beliau.
Encik Fahmi Aliman pula menyambut baik usaha berterusan SBL dan menekankan kepentingan sumbangan ini dalam mengeratkan hubungan masyarakat.
"Alhamdulillah, saya rasa ini satu inisiatif yang amat bagus sekali kerana dengan adanya beras, kita dapat memasak bubur bersama dan menjalin hubungan silaturrahim antara satu sama lain. Ini adalah satu wadah untuk kita saling memahami isu-isu di lapangan serta membantu mereka yang memerlukan. Menerusi makanan dan berbuka puasa bersama, kita dapat mengeratkan masyarakat," ujar beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.