Skip to main content

Singapura

Singapore Airlines tawar AS$10,000 kepada penumpang SQ321 yang alami 'kecederaan ringan'

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Jun 2024 10:50AM Dikemas Kini : 11 Jun 2024 09:06PM
SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) memohon maaf pada Selasa (11 Jun) dan mengumumkan tawaran pembayaran pampasan bagi 211 penumpang, yang berada dalam pesawat SQ321 yang mengalami gelora udara.

Puluhan individu cedera, dengan sebilangan mereka mengalami kecederaan parah, manakala seorang lelaki maut ketika dalam penerbangan pada 20 Mei lalu.

SIA menyatakan tawaran pembayaran pampasan itu dikirimkan kepada para penumpang pada Isnin. Mereka yang mengalami "kecederaan ringan" berikutan insiden tersebut ditawarkan ganti rugi sebanyak AS$10,000 (S$13,500).

"Bagi mereka yang mengalami kecederaan yang lebih serius berikutan insiden itu, kami mempelawa mereka untuk berbincang mengenai tawaran pampasan sesuai dengan keadaan mereka, apabila mereka sudah sihat dan bersedia untuk melakukan demikian," menurut SIA dalam satu catatan di Facebook.

"Penumpang yang dinilai dari segi perubatan sebagai mengalami kecederaan serius, yang memerlukan jagaan perubatan jangka panjang dan memerlukan bantuan kewangan, ditawarkan pembayaran awal sebanyak AS$25,000 (S$33,830) bagi memenuhi keperluan segera mereka. Ini adalah sebahagian daripada wang pampasan yang akan diterima oleh penumpang ini."

Bayaran balik penuh tambang penerbangan akan ditawarkan kepada semua penumpang SQ321, termasuk mereka yang tidak mengalami sebarang kecederaan. Mereka juga akan menerima pampasan kelewatan mengikut peraturan Kesatuan Eropah atau United Kingdom, menurut SIA.

SIA bagaimanapun tidak menyebut tentang pampasan bagi 18 anak kapal yang berada dalam SQ321.

SQ321 sedang dalam perjalanan dari London ke Singapura apabila ia berdepan dengan perubahan "mendadak" daya graviti (G) sedang ia berada di ruang udara Lembangan Sungai Irrawaddy di Myanmar.

Para penumpang dan anak kapal tercampak ke siling pesawat itu sebelum terjatuh ke bawah, menyebabkan pesawat itu membuat lencongan kecemasan ke Bangkok.

Seorang penumpang rakyat Britain, Encik Geoff Kitchen, 73 tahun, meninggal dunia ketika berada dalam pesawat itu disebabkan serangan jantung. Yang lain pula mengalami kecederaan pada bahagian otak dan saraf tunjang.

Syarikat penerbangan itu menyatakan pada Selasa bahawa ia juga memberikan semua penumpang S$1,000 setiap seorang sebaik sahaja mereka berlepas dari Bangkok bagi menampung perbelanjaan segera mereka.

SIA menambah bahawa ini meliputi perbelanjaan perubatan penumpang yang cedera dan aturan yang dibuat untuk anggata keluarga mereka terbang ke Bangkok apabila diperlukan.

"SIA kekal komited untuk menyokong penumpang yang terjejas, yang berada dalam SQ321," jelasnya.

"Semua penumpang yang terjejas harus sudahpun menerima tawaran bayaran pampasan mereka menerusi emel, di samping maklumat mengenai bagaimana mereka boleh menguruskan tuntutan mereka".
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita