Skip to main content

Singapura

Singapore Airlines batal penerbangan ulang-alik ke Heathrow selepas lapangan terbang ditutup

Anggaran Waktu Membaca:
Singapore Airlines batal penerbangan ulang-alik ke Heathrow selepas lapangan terbang ditutup

Kebakaran di stesen janakuasa elektrik berhampiran Lapangan Terbang Heathrow pada 21 Mac 2025. (Gambar: X/@LondonFire)

SINGAPURA: Beberapa penerbangan Singapore Airlines (SIA) yang ulang-alik ke Lapangan Terbang Heathrow dibatalkan selepas kebakaran besar berlaku, sekali gus menyebabkan bekalan elektrik terputus di lapangan terbang terbesar Britain.

Sebagai memberi respons kepada Mediacorp, SIA menyatakan pada Jumaat (21 Mac) bahawa lapan penerbangan terjejas kesemuanya.

Penerbangan dari Singapura ke Heathrow di London sama ada dilencongkan atau dibatalkan.

Penerbangan SQ322 dan SQ306, yang masing-masing berangkat dari Singapura pada Khamis dan Jumaat, dilencongkan ke Lapangan Terbang Frankfurt dan Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris.

SQ308 berangkat dari Singapura, tetapi akan terbang pulang ke Lapangan Terbang Changi dan dijadualkan mendarat pada 4.30 petang.

"Penerbangan itu kemudian akan dibatalkan," jelas SIA.

Empat penerbangan dari Heathrow ke Singapura - SQ305, SQ317, SQ319 dan SQ321 - sudah dibatalkan, menurut SIA.

Heathrow menyatakan bahawa ia akan ditutup pada Jumaat disebabkan kebakaran besar di stesen janakuasa elektrik berhampiran yang menyebabkan bekalan elektrik terputus.

Jabatan Bomba London menyatakan sekitar 70 anggota bomba cuba memadam kebakaran di Hayes, di barat London, yang menyebabkan bekalan elektrik terputus secara besar-besaran di Heathrow, iaitu lapangan terbang paling sibuk di Eropah dan kelima paling sibuk di dunia.

Sekitar 150 orang dipindahkan dari bangunan berdekatan.

Jabatan bomba juga menyatakan punca kebakaran masih belum diketahui.

"SIA akan menyediakan semua bantuan yang diperlukan kepada penumpang yang terjejas, termasuk menyediakan penginapan hotel, dan menempatkan mereka semula ke dalam penerbangan alternatif atau pengangkutan darat," menurut syarikat penerbangan itu.

Pelanggan dinasihati supaya melayari laman SIA bagi maklumat lanjut berhubung status penerbangan.

"Keselamatan pelanggan dan anak kapal kami sentiasa menjadi keutamaan kami. SIA memohon maaf kepada semua pelanggan atas kesulitan yang dialami."
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita