Singapore Airlines bakal lancar penerbangan harian ke barat Sydney mulai 23 Nov
Singapore Airlines (SIA) akan melancarkan penerbangan tanpa henti secara harian antara Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa barat Sydney (Nancy-Bird Walton) bermula 23 November 2026, menurut syarikat penerbangan itu pada Selasa (24 Mac).
Perkhidmatan itu, tertakluk kepada kelulusan pengawal selia, akan menggunakan pesawat Airbus A350-900 jarak sederhana yang mempunyai 303 tempat duduk - 40 dalam kelas niaga dan 263 dalam kelas ekonomi.
Tiket penerbangan akan mula dijual secara berperingkat mulai 25 Mac.
Penerbangan sulung SIA, SQ201, dijadual berangkat dari Lapangan Terbang Changi pada 11.30 pagi, 23 November, dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa barat Sydney pada 10.20 malam waktu tempatan.
Penerbangan pulang, SQ202, akan berangkat pada 11.55 malam hari yang sama dan tiba di Singapura pada 5.05 pagi, 24 November.
Barat Sydney merupakan sebahagian daripada wilayah Greater Sydney, yang menempatkan lebih tiga juta penduduk dan merupakan ekonomi ketiga terbesar di Australia.
Lapangan terbang itu dijangka menjadi gerbang ke daya tarikan seperti Blue Mountains, selain menawarkan pelbagai pengalaman budaya dan kulinari di rantau tersebut.
“Perkhidmatan Singapore Airlines ke gerbang baharu Australia di barat Sydney akan memberikan lebih banyak pilihan dan memperkukuh keterhubungan ke destinasi popular ini untuk pelanggan kami,” kata naib presiden kanan perancangan pemasaran syarikat itu, Dai Haoyu.
Beliau menambah bahawa keupayaan keberangkatan lewat malam di lapangan terbang itu akan menyokong keterhubungan yang lebih lancar melalui Lapangan Terbang Changi ke lebih 130 destinasi dalam rangkaian global kumpulan syarikat penerbangan itu.
Ketua pegawai eksekutif (CEO) Lapangan Terbang Antarabangsa barat Sydney, Simon Hickey, berkata kerjasama itu akan memberi lebih fleksibiliti kepada pelancong.
“Keupayaan operasi 24 jam kami, digabungkan dengan rangkaian global luas Singapore Airlines, akan membuka bandar kami kepada dunia dengan cara yang baharu dan menarik,” katanya.
Dengan perkhidmatan baharu itu, SIA akan mengendalikan lima penerbangan harian ke Sydney, termasuk empat perkhidmatan sedia ada ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kingsford Smith Sydney, iaitu lapangan terbang utama bandar itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.