Sindiket raih hampir S$890,000, jual akaun sembang kepada pelanggan bagi tujuan jenayah
Pada 2022, seorang lelaki yang mencari cara untuk mendapatkan wang tunai dengan pantas menemui sebuah modem yang boleh menerima mesej SMS yang dihantar kepada beberapa kad SIM.
Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)
Alvin Kok Jun Keat kemudian mencipta cara untuk menjual akaun penghantaran mesej sembang kepada para pelanggan yang mahu menggunakannya bagi tujuan berniat jahat.
Selama tujuh bulan, sindiket Kok menjana hampir S$890,000 dalam keuntungan jualan.
Kad-kad SIM yang dirampas daripada sindiket itu dikaitkan dengan ribuan aduan polis mengenai skim penipuan melibatkan kerugian lebih daripada S$51 juta.
Butiran mengenai bagaimana sindiket tersebut beroperasi didedahkan dalam keputusan penghakiman yang diterbitkan pada Rabu (17 Sep) berhubung individu yang dituduh bersama Kok, iaitu Tan Shay Howe.
Tan, 47 tahun, dihukum penjara selama tiga setengah tahun dan dua minggu serta didenda S$11,000 pada 12 Ogos lalu oleh Hakim Daerah Crystal Goh.
Tan mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan di Mahkamah negara, satu tuduhan kerana menjadi anggota sindiket dan lagi dua tuduhan kerana terbabit dalam pakatan sulit untuk mendapat faedah daripada perbuatan jenayah.
Lagi dua tuduhan serupa diambil kira dalam menentukan hukuman.
Pihak pendakwa mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dijatuhi oleh Hakim Goh, sekali gus membawa kepada penghakiman yang dikenakan.
Semasa membentangkan fakta kes, Hakim Goh berkata Tan adalah seorang mekanik di Da Sheng Motoring, sebuah bengkel kereta yang dikendalikan oleh anak lelakinya.
Lagi enam tertuduh bersama, termasuk Kok dinamakan dalam penghakiman itu. Tan dan Kok adalah kenalan.
Selepas menemui modem SMS itu, Kok mendapati ia boleh menerima mesej SMS yang dihantar dari beberapa kad SIM yang dimasukkan ke dalam peranti itu, dan mesej-mesej itu boleh diakses menerusi sebuah komputer yang dihubungkan.
Dia kemudian merancang untuk membuka beberapa akaun tanpa nama di WhatsApp dan WeChat menggunakan kad SIM pradaftar, dan mengaktifkan akaun-akaun itu menerusi kata laluan sekali (OTP) yang diterima menerusi SMS melalui modem itu.
Para pelanggan yang membeli akaun-akaun tersebut boleh menyembunyikan identiti mereka apabila menggunakan akaun-akaun tersebut bagi tujuan jenayah, seperti ketika melakukan skim penipuan.
Kok mengimport modem SMS itu dari China dan mula mencari kad-kad SIM pradaftar melalui Telegram bagi tujuan perniagaannya.
Dia mengenakan bayaran AS$30 (S$38.29) bagi penggunaan akaun WhatsApp selama tempoh 30 hari dan AS$10 (S$12.76) bagi akaun WeChat.
Para pelanggan membuat bayaran ke sebuah dompet mata wang kripto, di mana Kok akan menebus wangnya.
Dia mendapatkan khidmat seorang individu yang tidak dikenal pasti untuk mengiklankan khidmatnya di Telegram.
Apabila pelanggan menghubunginya dengan permintaan mendapatkan akaun, Kok akan memberikan pelanggan itu nombor telefon prabayar daripada bekalan kad-kad SIM prabayar dalam simpanannya.
Pelanggan itu kemudian akan membuka sebuah akaun tanpa nama menggunakan khidmat mesej itu, dan mendapatkan kata laluan sekali (OTP) yang akan diterima oleh kad SIM prabayar dalam modem tersebut.
Kok akan menyerahkan OTP itu kepada pelanggan tersebut.
Dia juga menawarkan khidmat tokokan bagi mereka yang ingin melanjutkan tempoh penggunaan akaun itu menjangkaui tempoh 30 hari dengan bayaran AS$10.
Lama kelamaan, sindiket itu menggunakan sofwe untuk memberikan pautan serentak untuk para pelanggan mengakses OTP masing-masing, supaya anggota sindiket tidak perlu memberikannya secara manual.
Pada Disember 2022, Kok mula mengembangkan perniagaannya dan memperolehi lebih banyak modem.
Tan turut merekrut lebih ramai orang untuk menyertai sindiket itu dan menyumbang S$25,000 kepada perniagaan itu.
Antara Januari dengan Februari 2024, Tan bersetuju mengambil alih perniagaan itu dari Kok, kerana Kok sering berselisih dengan seorang lagi anggota.
Dia bersetuju membayar Kok S$10,000 sebulan sebagai wang pampasan bagi kos operasi yang ditanggung ketika dia memulakan perniagaan tersebut.
Tan juga menerima saranan untuk memindahkan perniagaan itu ke sebuah ruang pejabat kosong di atas premis Da Sheng Motoring pada Mac 2024.
Dia dikenakan bayaran S$3,000 sebulan untuk menggunakan ruang tersebut.
Pada 29 Mei 2024, Markas Anti Penipuan Pasukan Polis Singapura melakukan serbuan di premis Da Sheng Motoring dan merampas 24,000 kad SIM, 27 alat modem SMS dan tujuh telefon bimbit serta beberapa peralatan lain.
Antara November 2023 dengan Mei 2024, sindiket itu menjana keuntungan jualan hampir S$887,477.
Antara Januari dengan Mei 2024, kad-kad SIM yang dirampas itu dikaitkan dengan sebanyak 2,393 aduan polis mengenai pelbagai skim penipuan melibatkan kerugian hampir S$51,088,067.
Pihak berkuasa juga mendapati para pelanggan yang membeli akaun-akaun tersebut kebanyakan daripada negara-negara seperti Malaysia, Myanmar dan Kemboja dan berpangkalan di luar negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.