Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sindiket pengubahan wang haram ditumpaskan dalam operasi Hong Kong, SG dan Interpol

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebuah sindiket rentas negara yang melakukan pengubahan wang haram hasil daripada penipuan bantuan teknikal di Singapura berjaya dilumpuhkan hasil kerjasama antara Interpol dengan polis di Singapura dan Hong Kong.

Kumpulan penjenayah terancang itu beroperasi di Hong Kong dan turut terlibat dalam pengubahan wang haram hasil daripada penipuan lain di sana, kata Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan media pada Jumaat (16 Ogos).

Salah seorang dalangnya, tiga anggota dan tiga keldai wang diberkas semasa pegawai polis Hong Kong menjalankan serbuan antara 9 hingga 12 Ogos. Mereka berusia antara 33 hingga 43 tahun.

Serbuan tersebut dijalankan selepas polis Singapura dan Hong Kong berkongsi maklumat dan menjalankan siasatan bersama, tambah SPF.

“Wang tunai berjumlah HK$300,000 (S$50,760) dan lebih daripada 60 kad bank ditemui dan dirampas sebagai bukti kes”.

HK$1.3 juta (S$220,000) hasil aktiviti jenayah berjaya dikembalikan berikutan siasatan susulan.

Seorang lelaki warga Singapura 23 tahun juga ditahan selepas dia didapati menyerahkan akaun banknya kepada kumpulan penjenayah yang dikaitkan dengan sindiket pengubahan wang haram yang ditumpaskan.

Siasatan masih dijalankan.

Kerjasama rentas sempadan yang dimudahkan oleh Interpol merupakan faktor penting untuk menumpaskan sindiket itu, kata Encik David Chew, pengarah Jabatan Ehwal Komersial SPF.

PENIPUAN BANTUAN TEKNIKAL

Antara Januari hingga Julai, 185 laporan berkaitan penipuan bantuan teknikal dibuat, yang melibatkan kerugian sekurang-kurangnya S$17.9 juta, kata SPF.

Mangsa penipuan sedemikian akan menerima pemberitahuan di komputer riba atau desktop mereka, yang mendakwa peranti mereka digodam oleh perisian hasad.

Pemberitahuan itu juga akan mengarahkan mereka untuk mendapatkan bantuan segera daripada pasukan bantuan teknikal Microsoft atau Apple, dan ia akan memberi nombor supaya mangsa dapat menghubunginya.

Apabila panggilan dibuat, penipu yang menyamar sebagai pekerja bantuan teknologi Microsoft atau Apple akan mendakwa peranti mangsa sudah digodam dan digunakan untuk aktiviti jenayah.

Mangsa kemudian akan diarahkan untuk mengakses laman web dan/atau memuat turun perisian yang akan memberikan penipu akses dari jauh kepada peranti mereka.

Selepas itu, mangsa akan diarahkan untuk log masuk ke akaun i-Banking mereka dengan alasan untuk membantu menangkap "penggodam".

Bagaimanapun, ia akan membenarkan penipu mengambil maklumat peribadi dan kata laluan perbankan internet mangsa.

Penipu kemudian dapat menggunakan fungsi akses dari jauh untuk melakukan transaksi tanpa kebenaran dengan menggunakan akaun bank mangsa.

Pada Julai, SCMP melaporkan bahawa polis Hong Kong menyaksikan peningkatan trend pada penipu yang menyamar sebagai kakitangan bantuan teknologi.

Penduduk ekspatriat dan mereka yang berbahasa Inggeris menjadi sasaran penipuan tersebut, dan lebih daripada HK$17 juta (S$2.9 juta) hilang sejak dua bulan terakhir sebelum laporan itu, kata Encik Chew.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan