Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sindiket asing dikaitkan dengan kes pecah rumah di Bukit Timah; polis buru 14 warga China

Anggaran Waktu Membaca:
Sindiket asing dikaitkan dengan kes pecah rumah di Bukit Timah; polis buru 14 warga China

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/CNA)

Diterbitkan : 18 Aug 2024 12:27AM Dikemas Kini : 18 Aug 2024 06:14PM

SINGAPURA: Beberapa kes pecah rumah di estet kediaman privet dipercayai ada kaitan dengan sindiket asing melibatkan warga China, menurut polis pada Sabtu (17 Ogos).

Tiga orang telahpun diberkas dan didakwa di mahkawah setakat ini, sedang polis cuba mengesan lagi 14 yang berada di luar negara buat masa ini.

"Polis mendapatkan bantuan pihak berkuasa China untuk memperolehi lebih banyak maklumat untuk mencari merka. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka digalakkan untuk memberikan maklumat kepada polis," katanya.

Berdasarkan siasatan awal, sindiket itu dipercayai beroperasi dalam kumpulan yang kecil dan akan memecah masuk rumah dengan memanjat tembok atau pagar.

Para suspek dipercayai adalah pelawat yang memasuki Singapura menggunakan Pas Lawatan Sosial, biasanya selama satu atau dua hari, sebelum melakukan jenayah, kata polis.

Selepas melakukan jenayah, mereka akan meninggalkan kawasan itu dan cuba untuk keluar negara secepat mungkin untuk mengelak daripada dikesan.

Kebanyakan sasaran mereka dipercayai tinggal berhampiran kawasan penghubung taman atau kawasan hutan, yang boleh melindungi kegiatan mereka. Barangan yang diambil juga disimpan di sebuah kawasan hutan berhampiran dan akan diambil oleh rakan subahat mereka.

PENINGKATAN MENDADAK

Sebelum kes baru-baru ini, trend jenayah pecah rumah semakin merosot, kata polis. 59 kes dilaporkan pada separuh pertama tahun ini, berbanding 70 pada tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, 10 kes dilaporkan antara 1 Jun dan 4 Ogos tahun ini, kebanyakannya berlaku di estet-estet kediaman privet di sekitar Koridor Kereta Api dan Bukit Timah Road.

Barangan yang dicuri dalam 10 kes itu bernilai sekitar S$3.85 juta, yang mana S$1.36 daripadanya telahpun didapatkan semula.

Tiga suspek diberkas dan didakwa di mahkamah. Long Zhihua, 38 tahun dan Luo Changchang, 43 tahun, didakwa pada 28 Jun sementara Wu Jinxing didakwa pada 29 Julai.

Wu, 27 tahun, ditangkap pada 27 Julai di sebuah kawasan hutan di Koridor Kereta Api, dan kemudian didakwa dengan tuduhan menyimpan barang curian bernilai lebih S$180,000.

Wu Jinxing dibawa ke kawasan hutan di Koridor Kereta Api di mana barangan yang dicuri dipercayai disembunyikan. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/CNA)

Wang tunai dan barangan yang dirampas daripadanya termasuk beg tangan Birkin Hermes yang bernilai S$75,000, sekitar S$68,800 dalam bentuk mata wang Singapura dan mata wang asing serta tiga jam tangan mewah, termasuk jam tangan Jaeger-LeCoultre bernilai S$30,000, jam tangan Hublot dan jam tangan Omega.

Polis meningkatkan rondaan dan kehadiran di estet-estet kediaman privet di kawasan-kawasan yang terjejas sebagai tindak balas terhadap siri kes pecah rumah itu.


RONDAAN UDARA

Dron yang dipasang dengan lampu, kamera dan sensor haba akan melengkapi rondaan para pegawai di darat, kata polis.

Ia akan dikerahkan ke kawasan di estet-estet tersebut untuk meningkatkan pengawasan dan mengesan aktiviti yang mencurigakan.

Dron juga akan menyokong operasi pencarian sebagai tindak balas terhadap kes pecah rumah atau individu yang mencurigakan di kawasan tersebut.

Dron dikawal oleh pegawai Pasukan Respons Udara SPF di estet kediaman Greenlead untuk melakukan rondaan udara. (Gambar: Fabian Koh/CNA)
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan