Skip to main content

Singapura

Sinar Lebaran 2025 bawa penonton gamit kembali nostalgia sambut Lebaran daripada era 60-an hingga kini

Anggaran Waktu Membaca:
Sinar Lebaran 2025 bawa penonton gamit kembali nostalgia sambut Lebaran daripada era 60-an hingga kini

Fir Rahman dan Farah lola hiburkan penonton dengan persembahan sketsa yang menggambarkan perubahan sambutan Hari Raya sepanjang dekad-dekad lalu. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Konsert khas Sinar Lebaran tahun ini menjanjikan sajian hiburan yang mencerminkan kekayaan budaya dan warisan Melayu sepanjang zaman.

Selama dua setengah jam, para penonton akan dibawa untuk menggamit kembali nostalgia menyambut Lebaran daripada era 60-an hingga kini.

Lagu-lagu Hari Raya baru dan malar segar kembali 'dihidupkan' melalui dendangan gabungan artis lama dan bakat muda.

Konsert tahun ini menampilkan persembahan daripada bintang-bintang Singapura dan serantau, termasuk Aisyah Aziz, Dayang Nurfaizah, Hady Mirza, Ramli Sarip, Tomok dan ramai lagi.

"Dayang kali ini menyanyikan lagu Dayang sendiri iaitu lagu 'Raya Terbaik' iaitu lagu Dayang, Hannah Delisha dengan Sophia Liana.

"Tapi yang istimewanya, kita bertiga tidak pernah persembahkan lagu ini. Jadi untuk Sinar Lebaran kali ini, ini kali pertama Dayang nyanyi lagu 'Raya Terbaik' ini khas untuk peminat Singapura," kongsi penyanyi Dayang Nurfaizah.
Penyanyi, Dayang Nurfaizah. (Gambar: Mediacorp)
Papa Rock Ramli Sarip juga akan mendendangkan beberapa lagu klasik Hari Raya seperti 'Seri Hari Raya'.

"Kita akan cerita tentang masa-masa kita dalam tahun 70-an, 80-an dan kebanyakan mereka yang masih bertahan lagi. Ia sudah tinggalkan satu legasi lagu-lagu yang saya rasa senang ditangkap atau yang senang dihafal, dan melodi dan lirik yang sesuai sebab itu dia boleh bertahan hingga sekarang," kata Ramli Sarip.

Beliau sempat memuji bakat penyanyi-penyanyi muda dan baharu yang mencabar diri menyanyikan lagu-lagu klasik.

"Kita suka lihat bila artis-artis baharu dapat mengangkat lagu-lagu tema 80-an dahulu ke satu tahap yang dewasa. Dan bagi saya, ini satu benda yang saya rasa kita harus sokong pelapis-pelapis ini. Tidak semua orang boleh nyanyi lagu Raya dan sampaikan lagu Raya itu dengan keadaan yang kita hendak. Saya rasa dalam tema ini, selayang pandang, saya nampak ada kelainan, ada kekuatan itu," ujar Ramli Sarip.

Selain persembahan nyanyian, para penonton juga dihiburkan dengan persembahan sketsa yang menggambarkan perubahan sambutan Hari Raya sepanjang dekad-dekad lalu, diterajui Fir Rahman, Aminah Ahmad, Zuhairi Idris, Husin Saaban, Farah Lola dan ramai lagi.

Turut menyertai barisan pelakon itu ialah pasangan ibu dan anak, Siti Hajar Gani dan Haziqah Hashir, yang berganding bahu buat kali pertama dalam konsert Sinar Lebaran.

Walaupun hanya diberikan peranan kecil dalam sketsa, Siti Hajar teruja dapat terlibat dan memeriahkan suasana.

"Saya sangat bersyukur walaupun saya dipanggil untuk katakan dua 'line' sahaja tapi sebab kita berlakon di hadapan penonton, jadi kadang-kadang itu dengan semangat daripada penonton, daripada dua 'line' itu kadang-kadang kita boleh 'ad lib' sampai tiga, empat, lima baris ayat.

"Jadi pada saya, tidak ada masalah sebab ini adalah sketsa komedi. Jadi bolehlah nanti kita pandai-pandai 'ad lib' untuk memeriahkan lagi suasana sketsa itu," kata Siti Hajar.

Beliau akur khuatir apabila anaknya, Haziqah Hashir memainkan watak komedi kerana beliau sering melakonkan watak-watak berat yang memerlukan pelakon itu menangis.

Namun, dia percaya anaknya boleh melakukannya dan berharap penonton dapat menyaksikan sesuatu yang berlainan daripada Haziqah.

"Ini pengalaman saya yang pertama sekali melakonkan watak komedi dan juga untuk Sinar Lebaran. Saya rasa sangat gementar kerana pelakon yang lain sangat berpengalaman dan sangat berbakat. Jadi saya selalu meminta nasihat daripada mereka dan sebenarnya saya rasa sedikit teruja sebab saya tidak selalu diberikan watak-watak seperti ini," kata Haziqah.
(Gambar: Mediacorp)
Edisi khas Sinar Lebaran tahun ini akan ditayangkan pada Ahad (30 Mac), jam 9.00 malam di Suria.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita