Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sinar Lebaran 2022 lebih padat dengan sketsa komedi, persembahan seni dalam konsert dua jam setengah

Konsert Sinar Lebaran kembali meriahkan persiapan anda pada malam Raya tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Konsert Sinar Lebaran kembali meriahkan persiapan anda pada malam Raya tahun ini.

Selama dua jam setengah, para penonton akan dihiburkan dengan persembahan yang menampilkan hampir 100 bakat tempatan yang merangkumi para pelakon, penyanyi, pemuzik dan penari.

Antara lain, ia menampilkan persembahan daripada artis-artis lama dan baru seperti Rahimah Rahim, Husin Saaban, Huda Ali, Khairudin Samsudin, Taufik Batisah dan bakat-bakat baru seperti Danial Baharin dan Ace Iskandar.

Artis dari seberang tambak, Dayang Nurfaizah juga akan mendendangkan lagu bertajuk 'Kepulangan Yang Di Nanti' dan 'Dari Jauh Ku Pohon Maaf' dalam satu persembahan khas bersama pemain piano dari Malaysia, Audrey Suwito.

Buat julung-julung kalinya juga, Sinar Lebaran menjalin kerjasama dengan kumpulan-kumpulan seni seperti Orkestra Sri Temasek, Nobat Kota Singa, Sri Mahligai, Sri Warisan dan Artistari Gentari untuk menyajikan segmen-segmen menarik dan unik kepada para penonton.

Ini di samping persembahan oleh kumpulan dikir barat seperti Andika Kencana dan Kelana Purba yang akan menyemarakkan lagi suasana raya tahun ini.

Segmen yang paling dinanti-nantikan ramai, iaitu segmen komedi kali ini menampilkan sketsa-sketsa telatah keluarga Ucop dan Sally yang dilakonkan di luar dan dalam studio.

Khairudin Samsudin menjayakan watak sebagai Ucop manakala watak Sally dilakonkan oleh Huda Ali.

Istimewa kali ini, Sinar Lebaran 2022 juga menerapkan segmen lintas langsung di sekitar Geylang Serai termasuk Wisma Geylang Serai yang akan dihoskan oleh personaliti Suria, Lydia Asyiqin dan Hans Hamid.

"Kami harap segmen ini dapat merancakkan semangat dan membawa penonton meneroka suasana pada malam Hari Raya sambil menonton Sinar Lebaran," kata Ketua Audiens Melayu Mediacorp, Sabariah Ramilan.

Daripada persembahan dikir barat hingga lagu-lagu Raya klasik, seisi keluarga akan terhibur menonton Sinar Lebaran pada malam Raya.

Sehubungan itu, orang ramai juga boleh saksikan video digital khas di meWATCH dan YouTube, temu bual eksklusif bersama artis-artis Sinar Lebaran yang mengongsikan pengalaman raya dan kenangan indah terlibat dalam rancangan-rancangan Hari Raya.

Sinar Lebaran 2022 akan disiarkan di saluran Suria pada pukul 9.00 malam pada 2 Mei 2022.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa