Sin Ming, Tiong Bahru antara kejiranan dapat nikmati laluan pejalan kaki, berbasikal lebih luas
Jalan-jalan raya baru di negara ini akan direka bagi menyokong rangkaian pengangkutan awam dengan lebih baik, berjalan kaki dan berbasikal serta menghasilkan lebih banyak ruang masyarakat di Singapura. Begitu juga dengan jalan raya sedia ada yang akan dipertingkatkan bagi tujuan yang sama.

(Gambar: iStock)
SINGAPURA: Jalan-jalan raya baru di negara ini akan direka bagi menyokong rangkaian pengangkutan awam dengan lebih baik, berjalan kaki dan berbasikal serta menghasilkan lebih banyak ruang masyarakat di Singapura. Begitu juga dengan jalan raya sedia ada yang akan dipertingkatkan bagi tujuan yang sama.
Estet kejiranan Sin Ming dan Tiong Bahru merupakan antara kawasan di mana projek sedemikian akan dilancarkan, kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan Amy Khor semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan kementeriannya pada Rabu (9 Mac).
Matlamatnya adalah untuk menyokong penggunaan pengangkutan yang lebih mesra alam, sekali gus menggalak 90 peratus perjalanan semasa waktu sibuk dilakukan dengan berjalan kaki, berbasikal atau kaedah menunggang menjelang 2040.
KORIDOR KEUTAMAAN TRANSIT BARU DI SIN MING
Koridor Keutamaan Transit (TPC) adalah jalan-jalan raya yang disepadukan dengan laluan bas, laluan pejalan kaki yang lebih luas dan laluan khusus berbasikal atau laluan dikongsi. Dr Khor berkata Pemerintah merancang agar rangkaian TPC ditambah sekitar 60 kilometer menjelang 2030, termasuk "TPC paling panjang di Koridor Utara-Selatan".
"Ini mungkin tidak nampak banyak, tetapi setiap TPC akan menjadi jalan raya utama bagi setiap kejiranan," katanya.
Kerja-kerja binaan akan bermula pada separuh kedua tahun ini bagi TPC baru di Sin Ming Avenue yang menghubungkan Koridor Utara-Selatan di Marymount Road dan stesen MRT Bright Hill, menurut LTA dalam satu kenyataan media.
Laluan sepanjang 2 kilometer itu termasuk laluan khusus bas, laluan berbasikal yang baru dan laluan pejalan kaki yang lebih luas.
LTA menyatakan apabila TPC itu siap dibina pada 2029, ia akan memudahkan penduduk Sin Ming pergi ke stesen MRT Bright Hill - iaitu salah satu stesen pertukaran antara Laluan Thomson-East Coast dan Laluan Rentas Pulau.
Sekolah seperti Sekolah Ai Tong dan Maktab Rendah Eunoia serta Taman Bishan-Ang Mo Kio, boleh diakses dengan lebih mudah menerusi pengangkutan awam dan mod mobiliti aktif, menurut LTA.
LTA juga menarik perhatian TPC di Tampines Avenue 1 yang siap dibina pada 2021. TPC sepanjang 1.7 kilometer itu, mempunyai sebuah laluan khusus bas dan laluan berbasikal, sekali gus memberi penumpang bas perjalanan lebih lancar selain meningkatkan keterhubungan berbasikal ke stesen MRT Tampines West.
JALAN RAYA DI TIONG BAHRU DIPERTINGKAT
LTA akan melancarkan satu projek perintis selama enam bulan bermula hujung Mac ini untuk membina semula beberapa jalan raya di Tiong Bahru iaitu Seng Poh Road, Eng Hoon Street dan Lim Liak Street. Ini akan disokong oleh "langkah-langkah mengurangkan trafik" bagi memperlahankan aliran lalu lintas dan memastikan pejalan kaki dapat menyeberang jalan dengan lebih selamat.
Jalan-jalan raya itu akan menjadikan tersebut kejiranan itu lebih mesra pejalan kaki, khususnya dekat Pasar Tiong Bahru yang popular.
Misalnya, bebendul jalan sementara dan kotak tanaman akan digunakan untuk menutup Eng Hoon Street bagi membuka laluan bagi pejalan kaki.
Jalan bagi pejalan kaki adalah serupa dengan laluan pejalan kaki yang luas, di mana jalan raya itu ditutup kepada kenderaan dan dikhususkan bagi pejalan kaki, pengayuh basikal dan pengguna peralatan mobiliti peribadi tidak bermotor.
Tempat menaiki teksi di Seng Poh Road juga akan dipindahkan ke Lim Liak Street.
Pemandu yang terjejas boleh mencari tempat letak kereta alternatif di Seng Poh Lane dan Moh Guan Terrace.
Semasa uji cuba selama enam bulan itu, LTA akan mengumpul maklum balas dari masyarakat. Jika perubahan itu disokong, ia akan dijadikan tetap.
Dr Khor turut berkongsi perkembangan projek reka bentuk jalan raya sedia ada dan yang sudah selesai. Pada Disember tahun lalu, laluan pejalan kaki di Havelock Road diluaskan dengan membina semula lot tempat letak kereta di jalan raya, menjadikan estet kejiranan Beo Crescent lebih mesra pejalan raya.
Sejak Disember lalu, pengunjung ke Daerah Sivik boleh berjalan kaki antara Esplanade Park, Empress Place dan Padang setelah Connaught Drive dan Fullerton Road/Jambatan Anderson ditutup kepada kenderaan.
Usaha menjadikan jalan raya di Woodlands Ring Road yang terletak bersebelahan Kampung Admiralty mesra pejalan kaki juga dijadual selesai menjelang suku ketiga tahun ini, tambah LTA.
LTA menyatakan ia akan terus mengkaji kawasan lain yang sesuai bagi kerja-kerja penggunaan semula jalan raya bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura menjadikan pengangkutan awam dan mobiliti aktif sebagai pilihan pengangkutan mereka.
RANGKAIAN BERBASIKAL DIPERLUAS, LEBIH BANYAK LOT BASIKAL
Akhir sekali, untuk menggalakkan lebih banyak usaha mobiliti mampan dan aktif, LTA akan meluaskan rangkaian berbasikal merata Singapura kepada sekitar 1,300 kilometer menjelang 2030, kata Setiausaha Parlimen Kanan Pengangkutan Baey Yam Keng.
Rangkaian itu kini sepanjang sekitar 500 kilometer.
Selain itu, lagi 3,000 lot basikal akan disediakan di stesen-stesen MRT menjelang 2025.
"Kami menggalakkan tempat-tempat kerja untuk menyediakan kemudahan sedemikian menerusi Geran Pengangkutan Aktif, dan sudah memberi geran ini kepada 14 tempat kerja sejauh ini.
"Kami berharap lebih banyak tempat kerja akan memanfaatkan geran ini apabila pusingan permohonan seterusnya dibuka tahun ini," kata Encik Baey.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.