Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Simulasi serangan pengganas: Masjid Sultan komited utamakan keselamatan nyawa

Masjid Sultan ingin memastikan kakitangan dan para relawannya bersiap sedia dan tahu langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani serangan pengganas. Maka itu, simulasi yang dijalankan pada Ahad (24 Nov), dipastikan begitu realistik.

Anggaran Waktu Membaca:
Simulasi serangan pengganas: Masjid Sultan komited utamakan keselamatan nyawa

Simulasi serangan pengganas di Masjid Sultan. (Gambar: SPF)

SINGAPURA: Masjid Sultan ingin memastikan kakitangan dan para relawannya bersiap sedia dan tahu langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani serangan pengganas. Maka itu, simulasi yang dijalankan pada Ahad (24 Nov), dipastikan begitu realistik.

Masjid Sultan memberitahu BERITAmediacorp, para anggota lembaga masjid sudah membuat perancangan teliti sebelum tampil untuk bekerjasama dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk mengadakan simulasi pengganas di ruang utama masjid.

Ini diputuskan menyusuli beberapa serangan yang dilaporkan berlaku di tempat-tempat ibadah mahupun institusi agama di merata dunia kebelakangan ini.

KESELAMATAN JEMAAH, MENYELAMATKAN NYAWA KEUTAMAAN MASJID SULTAN

Mentelah lagi, Masjid Sultan menyambut ramai pelancong setiap hari. Ini membuat pihak masjid terdorong untuk mengambil langkah-langkah pencegahan kerana serangan pengganas nyatanya boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Simulasi serangan pengganas di Masjid Sultan. (Gambar: SPF) 

(Gambar-gambar: SPF)

"Sekiranya ada kejadian seperti itu, kami hanya ingin menyelamatkan nyawa. Dan simulasi itu dijalankan dengan begitu realistik agar kami dapat mempersiapkan diri sebaik mungkin," menurut pihak masjid kepada kami. 

Semasa simulasi dijalankan, penghadang diletakkan. Atas sebab-sebab keselamatan juga, hanya individu yang dibenarkan boleh masuk ke kawasan latihan.

Diberi nama ‘Heartbeat’, latihan itu dijalankan pada sekitar jam 9.00 malam, di tingkat satu ruang utama Masjid Sultan. Ini bermakna, ia hanya dijalankan selepas solat Isyak pada hari tersebut.

RUANG MASJID DIBERSIHKAN SEJURUS SELEPAS LATIHAN 'HEARTBEAT'

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan SPF, SCDF dan Masjid Sultan semalam (25 Nov), latihan itu bagi mengesahkan pelan kecemasan di masjid berkenaan dan mempertingkat pelan bertindak dalam menangani senario serangan pengganas dengan lebih baik.

Sejurus latihan 'Heartbeat' berakhir, Masjid Sultan mendapatkan khidmat untuk membersihkan kawasan masjid di mana simulasi dijalankan, termasuk permaidani masjid.

"Pastinya kami akan memastikan masjid bersih untuk para jemaah," jamin pihak Masjid Sultan.

Keseluruhannya, sekitar 60 kakitangan dan relawan Masjid Sultan dilatih tentang protokol SGSecure dan kemahiran menghulurkan pertolongan kecemasan.

Masjid Sultan menjadi rumah ibadah pertama di Singapura yang menjalankan simulasi pengganasan seumpama itu.

Latihan 'Hearbeat' antara lain membantu masjid berusia hampir 200 tahun itu untuk mempertingkat pelan respons mencegah, mengesan, menangguh dan menangani serangan pengganas.

SPF memberitahu BERITAmediacorp, belum ada masjid lain yang merancang dan tampil untuk mengadakan latihan itu setakat ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan