Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Simposium Tari Nusantara Pesta Muara 2022 himpunkan penggiat seni tari serantau & tempatan

Pesta Muara 2022 melabuhkan tirainya dengan sebuah simposium tarian Melayu yang diadakan buat julung-julung kali.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pesta Muara 2022 melabuhkan tirainya dengan sebuah simposium tarian Melayu yang diadakan buat julung-julung kali.

Simposium Tari Nusantara Pesta Muara 2022 menghimpunkan para penggiat seni tarian Melayu dari Singapura dan negara-negara jiran iaitu Brunei, Indonesia dan Malaysia.

Seramai 50 peserta mengikuti perbincangan mengenai perkembangan seni tari Melayu di Wisma Geylang Serai siang tadi (25 Nov).

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Republik Kenya Yatiman Yusof turut hadir selaku tetamu terhormat.

Dalam ucapan pembukaannya, Encik Yatiman mengalu-alukan penganjuran simposium itu sebagai wadah bagi para penggiat seni tari berkumpul dan saling berkongsi seni tarian masing-masing.

"Sejauh ini, seni tari merupakan seni yang dapat dilihat, jarang sekali dapat dimulai. Inilah satu daerah di mana terdapat kekosongan yang nyata. Kita sering diundang untuk menyaksikan persembahan tarian dan menikmati apa yang dipaparkan dan ikuti bagaimana tarian diusahakan, dilakarkan.

"Inilah daerah yang cuba kita telusuri hari ini. berfikir dan berkongsi tentang hakikat bahwa setiap tarian itu ada kerja keras dan pemikiran bukan ringkas. Jadi simposium ini bertujuan untuk mengisi kekosongan dan bagaimana satu-satu persembahan itu dibuat dan yang penting, bagaimana orang lain dapat berkongsi tentang proses pembuatan itu tadi," kata Encik Yatiman dalam ucapannya.

Simposium tari itu salah satu daripada tiga acara penutup Pesta Muara 2022 yang diadakan pada 25 dan 26 November 2022.

SIMPOSIUM TARI KUPAS PERKEMBANGAN TARIAN MELAYU SG DAN SERANTAU

Dua kertas kajian dibentangkan oleh dua ahli akademik dari Malaysia dan Indonesia di simposium tersebut.

Salah satunya adalah kertas kajian berjudul 'Koleksi Gagasan, Ingatan Kolektif dan Emosi yang Menyemarakkan Tari Melayu Persembahan Pentas di Singapura (2011-2022)' yang dibentangkan oleh Profesor Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saearani.

Profesor Madya Dr Muhammad Fazli Taib adalah Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Malaysia.

Kertas kerja yang beliau bentangkan menyorot pengalaman para penggiat seni dalam mencipta karya-karya seni tarian di Pesta Muara dari sejak dari mula sehingga sekarang.

Penganjuran simposium tari pada hari ini adalah lanjutan kepada Pesta Muara yang sudah 12 tahun ia diadakan.

"Kita bermula dengan persembahan tari dari dalam dan luar negara. Kini tiba masanya di mana kita telah lakukan perkara-perkara yang praktikal, kini apa yang kurangnya adalah 'discourse'. Inilah pemikiran di sebaliknya," kata Pengarah Eksekutif ERA Dance Theatre, Azrin Abdul Rahim kepada BERITAmediacorp.

Pesta Muara pada tahun ini berlangsung selama sebulan  berbanding hanya tiga hari pada tahun-tahun sebelumnya.

Encik Azrin berkata edisi Pesta Muara yang seterusnya mungkin menampilkan bentuk-bentuk seni budaya Melayu yang lain seperti teater tradisional.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan