Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Simposium kesejahteraan mental bincang pentingnya beri ruang untuk individu kongsi masalah mental, hapuskan stigma

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kesejahteraan mental tidak boleh dipandang remeh dan diambil ringan oleh masyarakat kerana boleh membawa padah dan masalah yang lebih besar.

Oleh itu, pendidikan psikologi dan kesedaran berhubung penyakit mental penting untuk dikongsikan dalam kalangan masyarakat.

Hal itu ditekankan dalam simposium berkenaan kesejahteraan mental Flourishing Happiness (FH), 'Walk with Me Against Stigma' pada Sabtu (28 Sep).

Acara anjuran A VOICE To Be Heard Limited itu juga diadakan bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut setiap tahun pada 10 September.

"Acara ini penting kerana kita harus memberi kesedaran kepada masyarakat peri pentingnya kita dapat pertolongan. Selalunya bila mereka menghadapi tekanan dan rasa gelisah, mereka selalu ingin jauhkan diri pada masyarakat daripada keluarga. Kita tidak mahu itu terjadi.

"Kalau kita tidak mahu ambil perhatian terhadap perkara ini, mungkin mereka akan rasa mereka ini, tidak penting dan akan rasa malu," kongsi Pengasas, A VOICE To Be Heard Limited, Encik Mohamed Ismail Abu Bakar kepada wartawan Nurfazirah Azman.

Dengan tema 'Life Beyond Stigma: Embracing Hope and Support', acara itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental dan memberi harapan dan dorongan kepada individu yang sedang melalui proses pemulihan.

Simposium itu juga menampilkan pakar dan individu-individu yang berkongsi pengalaman kehidupan mereka menangani masalah mental.

Anggota panel sesi selama tiga jam itu ialah Pengasas KamilahMS dan Pembimbing Kehidupan, Kamilah Mohammad Sharip, Pengasas GEMS@PoPWow, Muzdalifah Anuar dan Pengarah A VOICE To Be Heard Limited, Cik Sujata Tiwari.

Acara itu turut dihadiri Anggota Parlimen GRC Sembawang, Mariam Jaafar.

MASIH RAMAI ANGGAP BERKONGSI MASALAH MENTAL SEBAGAI MEMBUKA AIB

Menurut salah seorang anggota panel iaitu Cik Kamilah, stigma berkenaan isu kesejahteraan mental ini seringkali dikaitkan masyarakat sebagai 'aib'.

"Salah satu stigma yang selalu orang sebut-sebut ialah 'aib'. Berkongsi masalah itu adalah satu aib tetapi kadangkala kesihatan mental ini kita tidak nampak simptomnya. Kita hanya boleh tahu melalui perkongsian.

"Kalau kita tidak kongsi, kita tidak tahu yang orang itu mungkin dalam keadaan berbahaya ataupun keadaan yang ingin membunuh diri ataupun melakukan keganasan ke atas orang lain," kata Cik Kamilah.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan para peserta simposium itu bahawa isu itu boleh ditangani dengan kajian yang lebih menyeluruh dan mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar yang bertauliah.

"Kita cari maklumat yang bernas daripada orang- orang yang bertauliah. Daripada beribu-ribu individu yang berilmu seperti pakar-pakar, doktor dan asatizah. Yang penting, kalau kita rasa diri kita ni bermasalah, jangan berdiam diri kita mesti berusaha dan salah satu usaha ialah untuk berkongsi," kata Cik Kamilah.

Selain itu, beliau menekankan bahawa orang ramai harus mengambil perhatian tentang kesihatan tubuh badan juga.

"Ramai juga masyarakat Melayu kita rasa kesihatan tubuh badan kita ini tidak penting. Nanti lama-lama bila sudah jadi simptom fizikal baru mereka ingin melakukan sesuatu tapi mungkin sudah agak terlambat. Kita perlu jaga kesihatan fizikal kerana ia ada hubung kait dengan kesihatan mental juga," ujar Cik Kamilah.

Tambah beliau, orang ramai juga boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu mereka yang berdepan dengan penyakit mental.

"Kita tidak perlu beri wang, kita menjadi rakan yang mendengar dan yang aktif mendengar. Bukan sibuk memberi nasihat sahaja kerana ramai orang suka memberi nasihat dan suka berkata-kata tapi mendengar ini satu hadiah yang sangat berharga untuk orang yang melalui penyakit mental.

"Satu lagi ialah memberi dorongan dengan cara mengajak daripada menyuruh. Jadi kalau kita hendak orang itu mengamalkan kehidupan yang sihat ataupun pergaulan yang sihat. Kita mengajak. 'Jom ikut saya pergi bersukan ataupun pergi makan'," kongsi Cik Kamilah.

DIHADIRI 35 PESERTA DARIPADA PELBAGAI LATAR BELAKANG

Sesi di Kelab Masyarakat Canberra itu dihadiri 35 peserta.

Selain dapat mengikuti sesi perkongsian, para peserta juga diajak membincangkan pelbagai topik berhubung kesihatan mental.

Peserta yang ditemui teruja dapat meraih manfaat daripada sesi yang diadakan.

Antaranya ialah Cik Lydia Azeana Mohammad Dahlan yang juga merupakan anggota kumpulan sokongan bagi wanita yang dibebaskan dari penjara, Nisa' HOPE Network.

"Saya dengar perkongsian daripada wanita-wanita hebat tadi dan saya dapat belajar macam-macam daripada apa yang mereka kongsikan dengan apa yang terjadi dalam kehidupan mereka," kata Cik Lydia.

Perkongsian itu menurutnya mengubah cara pemikirannya.

"Kata-kata itu memberi semangat dan ia membuka minda saya untuk melihat kehidupan saya dalam perspektif yang berbeza di mana saya selama ini rasa saya yang paling susah atau saya yang paling teruk tetapi ada orang lain yang melalui kehidupan seperti itu dalam kehidupan. Jadi ia banyak membantu saya," kongsi Cik Lydia.

Beliau terdorong untuk mempraktikkan apa yang sudah dipelajari daripada sesi itu dan berkongsi ilmu dengan wanita-wanita dalam kumpulan sokongannya itu.

Di samping itu, pihak penganjur juga berharap bahawa orang ramai boleh tampil ke hadapan untuk menyumbang sebagai relawan.

Ini bagi memperkasa usaha dan inisiatif untuk membantu golongan yang menghadapi masalah mental dalam masyarakat.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan