Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Simposium Asatizah ILHAM 2022 lengkapi asatizah dengan kemahiran baru; tekankan kesejahteraan mental

Anggaran Waktu Membaca:
Simposium Asatizah ILHAM 2022 lengkapi asatizah dengan kemahiran baru; tekankan kesejahteraan mental

Cik Farah Mahamood Aljunied,Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Pelajar di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). (Gambar: ILHAM)

SINGAPURA: Generasi Muslim seterusnya mesti bersiap sedia dan yakin apabila menempuhi persekitaran masa depan yang serba tidak menentu.

Lantaran itu, para asatizah disarankan supaya mengutamakan tiga teras utama semasa mendidik dan membimbing generasi Muslim seterusnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan dan Pembangunan Pelajar Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS),
Farah Mahamood Aljunied menekankan demikian semasa menyampaikan ucapannya di Simposium Asatizah ILHAM 2022.

Simposium yang diadakan buat julung-julung kalinya itu membawa tema "Masa Depan Pendidikan Islam Dalam Dunia yang Bergolak, Serba Tidak Menentu, Rumit dan Samar-Samar".

Ketiga-tiga teras utama itu adalah:

Pertama, bersiap sedia menghadapi gangguan kerana perubahan adalah sesuatu yang kerap berlaku. Memandangkan masyarakat sudahpun berdepan dengan pelbagai perubahan dalam kehidupan beragama mereka dek COVID-19, Cik Farah menekankan betapa pentingnya persediaan dalam menghadapi dan menerima sebarang gangguan yang mungkin tercetus pada hari muka.

Kedua, beliau mengesyorkan supaya para asatizah memberikan penekanan kepada konteks dan realiti kerana panduan keagamaan tidak terpisah daripada pengalaman yang dilalui dalam kehidupan sebenar.

Dengan itu, Cik Farah menggalak para asatizah supaya terus berpegang teguh kepada amalan-amalan dan prinsip-prinsip Islam.

Seramai 240 asatizah yang menghadiri simposium tersebut secara fizikal di Auditorium Hotel RELC International pada Sabtu (15 Okt) dilengkapi dengan peralatan dan pengetahuan untuk menangani keperluan pelajar masa kini.

Simposium Asatizah ILHAM 2022, yang dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh Hab Pembelajaran dan Pejabat Pengurusan Islam (ILHAM), adalah sebahagian daripada usaha badan itu untuk menajamkan kemahiran dan kepakaran para asatizah di bawah naungannya.

Para asatizah yang menyertainya berpeluang menimba pengetahuan mengenai pelbagai aspek untuk menjadi seorang pendidik yang berkesan melalui perkongsian dengan para karyawan dalam bidang-bidang pendidikan dan psikologi.

(Gambar: ILHAM)
Di simposium yang sama, para asatizah dari Pusat aLIVE serta Pusat dan Penyedia Pendidikan Islam (IECP) turut merebut peluang untuk membina rangkaian dalam membangunkan masyarakat asatizah yang saling menyokong dan bertukar-tukar amalan terbaik dan maklum balas yang membina.

Di tengah-tengah kesedaran yang meningkat terhadap kesihatan mental golongan pendidik, simposium itu turut mengadakan forum pleno bagi mengetengahkan topik kesejahteraan mental untuk para asatizah.

Forum itu diterajui oleh Cik Nabilah Bagarib dan Cik Basithah Zulkifli, kedua-duanya adalah ahli terapi sistemik dari SYM Academy. Antara isu utama yang dibangkitkan semasa forum tersebut termasuk mengenal pasti tanda-tanda dibelenggu tekanan dan mendapatkan sokongan daripada pihak pengurusan jika terlalu dibebani dengan tugas.
(Gambar: ILHAM)
ILHAM kini mengendalikan sebanyak 15 pusat dengan 524 kelas yang dihadiri hampir 10,000 pelajar di merata negara. Kelas-kelas tersebut dikendalikan oleh seramai 280 asatizah sambilan dan sepenuh masa.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan