Simposium AKAR 2026: Golongan belia punya kuasa 'unik' pelihara seni & budaya Melayu
SINGAPURA: Usaha memelihara seni dan budaya Melayu tidak harus dipandang ringan, bukan sahaja untuk kelangsungannya, tetapi juga agar ia lebih dikenali di peringkat antarabangsa.
Dalam hal ini, golongan belia boleh memainkan peranan besar, iaitu dengan memanfaatkan platform digital dan teknologi moden.
Gesaan tersebut diketengahkan dalam simposium tahunan anjuran kumpulan seni VARIASI, yang berlangsung pada Sabtu (31 Jan). Wacana itu diberi judul "Budaya yang Mengakar, Meneduh dan Membuah dalam Arus Pergolakan dan Peluang Serantau".
Simposium sebegini menyediakan wadah bagi generasi muda dan generasi terdahulu untuk saling berkongsi pengetahuan dan pandangan, sekali gus menyumbang kepada usaha memperkukuh identiti budaya yang memastikan warisan dan seni Melayu terus mekar.
GOLONGAN MUDA MAMPU PACU KESINAMBUNGAN BUDAYA
Satu perkara yang ditekankan dalam Simposium AKAR itu adalah peranan golongan muda, yang dilihat mampu memacu kesinambungan budaya dalam konteks masa kini.
"Orang muda mempunyai kuasa yang unik kerana mereka semua hidup dalam generasi Internet dan generasi digital untuk menggunakan alat-alat digital ini bagi terus menyebarkan dan mengekalkan budaya kita," kata salah seorang ahli panel, Encik Fatih Hamdani, yang juga merupakan Duta Bahasa 2025.
"Mungkin cara generasi dahulu tidak akan berkesan pada masa kini. Namun, saya rasa orang muda boleh meneruskan budaya ini melalui cara dan wadah yang lebih moden agar ia kekal sepanjang zaman," tambahnya.
Encik Fatih juga berharap lebih ramai anak muda lebih berani untuk membuka minda mendekati budaya serta jati diri Melayu.
"Saya berharap orang muda akan lebih berminda terbuka untuk menghadiri simposium-simposium seperti ini dan tidak menganggapnya seperti suatu yang 'kuno'. Identiti peribadi dan jati diri seseorang itu tidak akan pupus (merentasi) zaman dan ia akan kekal relevan. Sebab itulah, saya ingin orang muda untuk lebih berani dan berminda terbuka untuk menjejaki budaya mereka," ujarnya.
Budaya turut dilihat sebagai pemangkin berpotensi bagi sektor pelancongan dan ekonomi.
BUDAYA MELAYU PUNYA TEMPAT KUKUH DI SG
Menteri Negara Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Zhulkarnain Abdul Rahim yang hadir selaku tetamu terhormat, pula menarik perhatian bahawa seni dan budaya Melayu masih mempunyai tempat yang kukuh dalam masyarakat majmuk Singapura.
Ini katanya, jelas, daripada jumlah pengunjung yang sering menghadiri acara-acara seni Melayu.
"Saya berharap agar perkara berkaitan seni dan budaya Melayu tidak diambil ringan. Usaha untuk memelihara, melestarikan dan mengembangkan seni budaya ini harus diteruskan secara berterusan supaya budaya Melayu bukan sahaja terus membangun, malah dikenali di peringkat antarabangsa," ucap Encik Zhulkarnain.
"Melalui simposium hari ini, saya (juga) berharap para peserta dapat berkongsi pandangan dan saranan yang membina tentang bagaimana seni dan budaya Melayu di Singapura boleh berkembang dengan lebih baik, serta menarik lebih ramai generasi muda untuk terlibat sama dan meneruskan legasi warisan ini," tambah beliau.
AKAR kali ini turut mengetengahkan kepelbagaian budaya Nusantara - daripada seni masyarakat Bugis dan Banjar, hinggalah Jawa, Bawean dan Minangkabau.
AKAR AKAN DIPERLUASKAN KE MALAYSIA, INDONESIA
VARIASI seterusnya merancang untuk membawa AKAR ke Malaysia dan Indonesia bagi edisi seterusnya.
"Kami menjangkakan AKAR 2027 dan 2028 akan memikat golongan millenial, Gen Z, untuk lebih menarik dan mendalami budaya dan adat yang serupa dan tidak mengetengahkan apa yang membezakan kita, (sebaliknya) lebih mementingkan persamaan dan juga apa yang istimewa tentang budaya-budaya di Nusantara."
Seramai 180 orang, terdiri daripada aktivis seni, pendidik, belia dan penyelidik, menghadiri acara ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.