Skip to main content

Singapura

Sim Ann wakil SG bagi sidang puncak keamanan Ukraine di Switzerland

Anggaran Waktu Membaca:
Sim Ann wakil SG bagi sidang puncak keamanan Ukraine di Switzerland

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berucap semasa sidang Dialog Shangri-La ke-21 di Hotel Shangri-La di Singapura pada 2 Jun 2024. (Gambar: NHAC NGUYEN/AFP)

SINGAPURA: Singapura akan menyertai sidang puncak keamanan Ukraine yang akan dihoskan oleh Switzerland, dengan Menteri Negara Kanan Sim Ann akan menjadi wakil negara ini.

Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan pada Selasa (4 Jun) bahawa beliau melantik Cik Sim sebagai utusan khas untuk menghadiri sidang tersebut, sambil menambah bahawa beliau telahpun memaklumkan Presiden Switzerland Viola Amherd mengenai keputusannya itu.
"Presiden Amherd dan saya juga saling menegaskan hubungan muhibah antara negara-negara kita dan menekankan pentingnya untuk kita bekerjasama bagi menegakkan dan memperjuangkan prinsip-prinsip Piagam PBB," jelas PM Wong dalam catatan Facebooknya.

Sidang puncak keamanan itu akan berlangsung dari 15 hingga 16 Jun.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy sebelum ini mengatakan bahawa sebanyak 106 negara dan pertubuhan sudahpun mengesahkan penyertaan dalam sidang tersebut. Beliau bagaimanapun kecewa kerana sesetengah pemimpin dunia belum lagi tampil untuk menawarkan sokongan mereka.

Rusia cuba mengganggu usaha keamanan tersebut, jelas beliau di Dialog Shangri-La di Singapura pada hujung minggu lalu.

Beliau kemudian memberitahu sidang media bahawa beliau tidak dapat bertemu dengan delegasi dari China di Dialog Shangri-La, yang merupakan sidang keselamatan utama di Asia.

Beliau juga meluahkan rasa kecewa kerana Beijing tidak dapat menghadiri sidang berkenaan.

"China, malangnya, sedang bekerja keras hari ini untuk menghalang negara-negara daripada menghadiri sidang puncak keamanan itu," ujarnya kepada para wartawan.

China bagaimanapun menafikan dakwaan itu sedang ia memberi tekanan ke atas negara-negara lain untuk tidak menghadiri sidang puncak tersebut.

Dalam satu catatan Facebook pada Selasa, Cik Sim mengucapkan terima kasih kepada PM Wong atas pelantikannya sebagai utusan khas. Cik Sim turut berkongsi bahawa beliau berbesar hati dapat mewakili Singapura di sidang puncak tersebut.

Pejabat Encik Zelenskyy mendedahkan bahawa beberapa negara dan pertubuhan antarabangsa yang telah mengesahkan pelibatan mereka termasuk sekutu-sekutu Barat Ukraine dan negara-negara dari Amerika Selatan, Afrika dan Timur Tengah. Kyiv sudahpun mengundang kira-kira 160 negara dan pertubuhan secara keseluruhannya.

Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris bakal mewakili Washington di sidang puncak tersebut.

Sementara itu, Filipina juga akan menyertai sidang puncak tersebut. Namun, masih belum jelas sekiranya Presiden Ferdinand Marcos akan menghadiri sidang itu atau sama ada beliau akan menghantar utusannya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita