Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sim Ann pelawa NCMP Leong Mun Wai bahas dasar perumahan 'jangkaui catatan media sosial'

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menjawab kritikan anggota parti pembangkang Leong Mun Wai yang dikemukakan empat hari lalu secara online berhubung dasar perumahan Pemerintah, Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Sim Ann mempelawa Encik Leong untuk mengadakan "perbahasan penuh" di Parlimen.

Selang sejam selepas Cik Sim memberitahu Encik Leong di Facebook pada Selasa (20 Dis) untuk mengadakan perbahasan "menjangkaui catatan di media sosial" dan "memfailkan usul di Parlimen" untuk mengadakan perbincangan secara rasmi, Encik Leong didapati berkongsi respons Cik Sim di akaun Facebooknya meskipun tidak membuat sebarang komen berhubungnya. Encik Leong dilihat membangkitkan isu berhubung harga flat Bina Ikut Tempahan (BTO) sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Ini bukan kali pertama Cik Sim memberi respons seumpama itu kepada Encik Leong. Beliau malah pernah berbuat demikian pada 11 Disember lalu.
Encik Leong, Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari Parti Kemajuan Singapura (PSP), mencetuskan siri pertukaran pendapat secara online sejak 8 Disember lalu, apabila beliau memuat naik satu catatan di Facebook untuk bertanya sama ada subsidi daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) "benar-benar murah hati" dan menggesa agar kos tanah digugurkan daripada harga flat HDB.

Beliau berkata harga flat HDB sepatutnya mengambil kira kos binaan dan perbezaan harga di antara lokasi, dan bukannya kos tanah itu sendiri.

Sehari sebelum itu, HDB dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) mendedahkan maklumat buat pertama kalinya yang menyatakan bahawa harga projek-projek BTO tidak mengambil kira kos pembangunan akaun.

Dalam satu catatan lain pada Jumaat (16 Dis) lalu, Encik Leong membuat beberapa komen yang menyatakan bahawa "ia tidak jelas bagaimana Pemerintah meletakkan harga atau memberikan subsidi bagi flat HDB sejak beberapa tahun ini".

Cik Sim menjawab komen tersebut pada Selasa dengan menjelaskan bahawa flat BTO dijual pada harga subsidi yang ketara, dengan diiringi geran-geran bagi kebanyakan pembeli.

Dengan tajuk "Patutkah harga flat HDB terjejas oleh dasar perakaunan rizab", tulis Encik Leong dalam catatan di Facebook mengenai rizab negara sebagai menjawab respons Cik Sim pada 11 Disember. Beliau menegaskan bahawa menurunkan harga flat BTO tanpa mengambil kira kos tanah, boleh sebaliknya menjejas kesemua warga Singapura daripada membantu mereka.

Beliau berkata bahawa ia adalah "benteng pertahanan yang biasa (digunakan) Pemerintah bahawa menggugurkan kos tanah dalam harga flat HDB akan memerlukan Pemerintah untuk menggunakan rizab negara".

Cik Sim membalas dakwaan yang dikemukakan Encik Leong dengan mengatakan bahawa Encik Leong sudahpun "mencampuradukkan" perbincangan mengenai harga flat BTO dengan persoalannya mengenai perakaunan nilai tanah sebagai sebahagian daripada rizab negara.

Sebelum ini Cik Sim berkata tanah negara dianggap sebahagian daripada rizab Singapura, lantaran itu langkah HDB untuk tidak mengambil kira kos tanah dan tidak membayar balik nilai pasaran saksama tanah itu, akan menjejas nilainya secara negatif.

Mediacorp sudahpun menghubungi Encik Leong untuk mendapatkan komennya.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan