Siling tandas flat Toa Payoh runtuh, nyaris hempap amah
Seorang pembantu rumah asing berusia 20-an tahun baru mula membersihkan tandas di sebuah flat Toa Payoh apabila sebahagian besar siling pecah dan jatuh ke dalam mangkuk tandas.
(Gambar: Alan Fu)
SINGAPURA: Seorang pembantu rumah asing berusia 20-an tahun baru mula membersihkan tandas di sebuah flat Toa Payoh apabila sebahagian besar siling pecah dan jatuh ke dalam mangkuk tandas.
"Ia nyaris-nyaris terkenanya ... Kami benar-benar bernasib baik," kata Encik Alan Fu kepada Mediacorp pada Khamis (27 Feb).
Pada Rabu, pengurus IT berusia 55 tahun itu menerima pesanan teks mencemaskan daripada pembantu rumah tersebut.
Bapa Encik Fu yang berusia 90 tahun tinggal di flat HDB tiga bilik itu, yang berusia kira-kira 50 tahun dan terletak di bahagian timur Toa Payoh. Encik Fu bagaimanapun tidak mahu mendedahkan alamatnya yang sebenar.
"Beliau menghantar saya gambar ... Saya pergi ke sana dan saya melihat keadaan tandas. Ia sangat teruk, " kata Encik Fu semasa menceritakan insiden yang berlaku sekitar pukul 5.00 petang.
Beliau menganggarkan ketulan konkrit yang jatuh itu mungkin seberat 10 kilogram dan berukuran sekitar 50 sentimer.
Walaupun keluarganya kini menerima bantuan daripada HDB untuk membaiki siling itu, Encik Fu mempersoalkan berapa ramai pemilik menyedari bahawa ia menjadi tanggungjawab mereka untuk memeriksa pengelupasan konkrit sehingga ia berlaku pada diri mereka.
Laman web HDB menyatakan bahawa pengelupasan konkrit (concrete spalling) merupakan isu biasa bagi bangunan-bangunan lama dan sebahagian besarnya disebabkan oleh pengkarbonan, iaitu satu proses semula jadi.
Ini menyebabkan besi keluli dalam siling terhakis, yang seterusnya menyebabkan konkrit retak dan melengkung.
HDB menambah di laman webnya bahawa ia adalah tanggungjawab pemilik flat untuk membaiki mana-mana konkrit yang menggelupas dalam flat mereka.
Encik Fu bersetuju bahawa pemilik perlu melakukan pemeriksaan, tetapi jika pemiliknya sudah tua seperti bapanya, mereka mungkin tidak maklum dan berhati-hati.
Encik Fu berkata beliau tidak tinggal bersama ayahnya. Seorang lagi penghuni flat itu, anak saudara lelaki Encik Fu yang berusia 30 tahun, sedang keluar bekerja pada waktu kejadian.
HUBUNGI MAJLIS BANDARAN, HDB
Gambar-gambar kejadian itu, yang menjadi tular online, menunjukkan sebahagian besar konkrit yang jatuh ke dalam mangkuk tandas. Lantai di sekelilingnya dipenuhi dengan serpihan.
Selepas melihat kesan kerosakan, Encik Fu menelefon Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh untuk mendapatkan bantuan namun dirujuk kepada HDB.
Encik Chong Kee Hiong, Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, memberitahu Mediacorp beliau dimaklumkan bahawa Encik Fu sudah dirujuk kepada HDB.
Encik Chong menjelaskan memandangkan ia berlaku di dalam rumah penduduk, ia adalah di bawah tanggungjawab HDB. Perkara lain yang berlaku di luar flat, seperti kawasan yang dikongsi bersama adalah di bawah tanggungjawab majlis bandaran.
Urusan untuk kerja-kerja pembaikan sudah dibuat, kata Encik Fu, dan beliau ditawarkan harga "muhibah" di mana beliau hanya perlu membayar separuh kos, manakala bakinya akan ditanggung oleh HDB.
Encik Fu tidak pasti tentang kos sebenar, namun menganggarkan ia mungkin "beberapa ratus" dolar.
Mediacorp sudah menghubungi HDB untuk mendapatkan komen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.