Skip to main content

Singapura

'Silap pertimbangan' dakapi SimplyGo sepenuhnya; EZ-Link dikekalkan hingga sekurang-kurangnya 2030: Chee Hong Tat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Jan 2024 07:51PM Dikemas Kini : 26 Jan 2024 11:25PM
SINGAPURA: Usaha untuk mendakapi sepenuhnya platform pembayaran SimplyGo adalah "kesilapan pertimbangan" dan sistem tiket sedia ada akan digunakan sehingga sekurang-kurangnya 2030, kata Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat pada Jumaat (26 Jan).

Encik Chee memberitahu wartawan bahawa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) "tidak menjangkakan" pilihan sebilangan penumpang untuk melihat potongan tambang dan baki kad di gantri stesen dan pengimbas kad dalam bas.

"Silap pertimbangan daripada pihak kami, dan saya memohon maaf kepada penumpang atas apa yang berlaku. Kami akan belajar daripada kesilapan ini dan kami akan buat yang lebih baik lagi pada masa hadapan," katanya.

Beliau menambah bahawa sistem Tiket Berlandaskan Kad (CBT) bagi dewasa akan digunakan sehingga sekurang-kurangnya 2030.
S$40 JUTA UNTUK MENGGUNAKAN SISTEM LAMA

Dalam keputusan untuk tidak menghentikan sistem CBT bagi dewasa, dianggarkan S$40 juta akan dibelanjakan supaya penumpang boleh terus menggunakan kad EZ-Link dan NETS FlashPay.

Pada Jumaat (26 Jan), Encik Chee berkata bahawa S$40 juta diperlukan untuk membeli perkakasan baharu, serta untuk menyelenggarakan dan mengendalikan sistem tiket sedia ada.
Encik Chee menambah bahawa belanjawan S$40 juta itu "tidak akan merangkumi tambang pengangkutan awam", dan akan ditanggung oleh pemerintah.

Ini bermakna, terdapat tiga sistem: Sistem tiket berdasarkan akaun SimplyGo, sistem CBT bagi dewasa, dan sistem CBT bagi pemegang kad konsesi.

Beliau berkata bahawa pemerintah akan melihat sama ada ia boleh "menggabungkan" kedua-dua sistem CBT pada masa depan.

Menteri tersebut juga sudah menugaskan LTA untuk memperbaiki ciri-ciri SimplyGo.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa akan "membuat keputusan pada masa hadapan" sama ada untuk melanjutkan sistem CBT selepas 2030.

Faktor utama adalah sama ada satu huraian boleh dibuat untuk mengatasi kesukaran teknikal bagi memaparkan maklumat potongan tambang dan baki kad di gantri stesen dan pengimbas kad dalam bas.

PROSES RUNDINGAN

Beberapa penumpang mempersoalkan proses rundingan selepas LTA membuat pengumuman awal bulan ini.

Encik Chee berkata LTA mengadakan beberapa siri rundingan bersama pelbagai kumpulan penumpang daripada 2020 sehingga 2023. Ini termasuk perbincangan kumpulan fokus dan uji cuba dengan lebih daripada 1,000 penumpang.

LTA memutuskan untuk tidak menukar pemegang kad konsesi kepada sistem SimplyGo kerana sebilangan warga emas berkata mereka tidak biasa dengan sistem baharu tersebut, dan lebih suka untuk melihat tambang mereka pada pengimbas kad.

Menteri Pengangkutan itu berkata: "Jika kami melakukan rundingan dengan lebih luas lagi, dan mengumpulkan kumpulan penumpang yang lebih banyak sebelum kami membuat keputusan dan mengumumkannya pada 9 Januari, kami akan mengetahui reaksi dan pilihan yang lebih digemari seperti yang diluahkan oleh beberapa penumpang, iaitu, bahawa mereka ingin mengekalkan ciri sedia ada untuk melihat potongan tambang dan baki kad di gantri dan di pengimbas kad dalam bas."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita