Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sila beri tempat duduk anda bagi penumpang dengan pelekat ini

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penumpang tidak memerlukan surat doktor untuk menerima pelekat atau lanyard "May I have a seat please?".

Demikian dinyatakan pengendali-pengendali pengangkutan awam kepada Mediacorp pada Khamis (9 Mac).

Para penumpang yang memerlukan pelekat dan lanyard juga tidak perlu menunjukkan "bukti" kondisi atau keadaan kurang upaya mereka.

Pengendali-pengendali pengangkutan awam memberi respons kepada pertanyaan tersebut setelah pengalaman seorang wartawan CNA yang memakai lanyard itu mengundang perkongsian beberapa warga net mengenai kesukaran mereka memperolehi pelekat atau lanyard tersebut.

Dilancarkan oleh Penguasa Pengangkutan Awam (LTA) pada 2019, inisiatif "May I have a seat please?" bertujuan untuk membantu para penumpang kurang upaya atau yang mempunyai masalah kesihatan untuk memaklumkan kepada penumpang lain bahawa mereka memerlukan tempat duduk di pengangkutan awam.

Ia merangkumi kondisi daripada demensia dan autisme kepada masalah jantung dan anggota badan.

Inisiatif itu dimulakan dengan memberikan pelekat kepada penumpang yang memerlukan manakala lanyard guna semula tersebut dilancarkan pada 2021.

Pengendali pengangkutan awam menekankan bahawa para penumpang yang memerlukan pelekat atau lanyard boleh mengambilnya daripada pusat khidmat pelanggan di stesen MRT, pusat pertukaran bas atau pejabat tiket TransitLink.

Seorang jurucakap daripada Go-Ahead Singapore berkata penumpang tidak perlu menunjukkan sebarang nota daripada doktor mahupun bukti tentang keadaan mereka untuk menerima kad tersebut.

Menteri Pengangkutan S Iswaran menarik perhatian bahawa pengendali pengangkutan awam mempunyai "program latihan, yang dilakarkan hasil rundingan dengan pelbagai agensi perkhidmatan sosial, bagi memperkasa kakitangan mereka dengan kemahiran untuk memberi bantuan kepada penumpang kurang upaya, termasuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang tidak dapat dilihat.

Beliau berkata demikian semasa menjawab satu soalan parlimen pada Februari lalu mengenai latihan bagi pengendali pengangkutan awam untuk memenuhi keperluan para penumpang yang mempunyai pelbagai keadaan kurang upaya.

Mediacorp difahamkan bahawa sesetengah kakitangan mungkin akan menanyakan tentang kondisi seseorang penumpang bagi menilai sama ada untuk memberikannya pelekat atau lanyard tersebut.

Jika seseorang individu memerlukan tempat duduk di pengangkutan awam hanya untuk hari berkenaan, misalnya, pelekat akan diberikan kepadanya. Namun, jika seorang penumpang mengalami keadaan kesihatan jangka panjang, beliau sebaliknya mungkin diberikan lanyard.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan