Sikap tamak, cuai sebab sesetengah belia jadi mangsa penipuan

(Gambar hiasan: Unsplash)
SINGAPURA: Setelah berjaya membeli Airpods Max keluaran Apple daripada seorang penjual di Carousell, Abdul Haqqim Abdul Hasim, 30 tahun, dan rakan-rakannya bertambah yakin untuk mengumpul duit sekitar S$4,000 untuk membeli tiga telefon bimbit iPhone 13 selepas pembeli tersebut menjanjikan potongan harga bagi pembelian secara berkumpulan.
Namun, apabila produk-produk itu tidak diterima, pengurus akaun pengiklanan itu cuba menghubungi penjual tersebut, tetapi mendapati akaunnya sudah dipadamkan.
Setelah membaca di ruang-ruang sembang online, Encik Haqqim menyedari bahawa beliau ditipu apabila warganet lain mengesahkan bahawa "penjual" yang berurusan dengannya itu adalah seorang penipu.
Encik Haqqim merupakan salah satu daripada ramai anak muda yang kini menjadi mangsa penipuan. Golongan belia membentuk sebahagian besar mangsa penipuan, menurut data yang dikeluarkan polis pada Rabu (8 Feb).
60.2 peratus daripada 31,728 kes penipuan yang dilaporkan tahun lalu, adalah mangsa berusia bawah 40 tahun.
Encik Haqqim berkata: "Apabila saya fikirkan semula, saya rasa penipu itu sukar dikesan kerana ulasannya di Carousell sangat bagus dan orang ramai menunjukkan barang-barang tulen dalam catatan masing-masing."
Tambah beliau, "ia seolah-olah satu penipuan yang sudah dirancang dengan begitu teliti" kerana pembelian pertama yang berjaya mendorongnya untuk mempercayai penjual itu, lantas memberinya keyakinan unutk berurus niaga dengan penjual itu tetapi terbukti satu penipuan.
"Saya sangat marah sekali tetapi apa boleh saya buat - saya harus teruskan hidup kerana tidak ada apa-apa yang boleh saya buat. Saya juga rasa bersalah kerana mengajak kawan-kawan saya (dan salah seorang daripada mereka kehilangan kira-kira S$1,000)."
Encik Haqqim yang menyumbang kira-kira S$3,000 daripada duit simpanannya untuk urus niaga tersebut, sudah membuat aduan polis tetapi tidak berjaya mendapat balik wangnya, walaupun pesalah itu diberkas pada Oktober 2021.
Beliau memberitahu Mediacorp, selepas insiden itu, beliau kini membeli barangan di Carousell dengan bertemu pembeli secara fizikal agar kejadian itu tidak berulang.
Profesor Madya Tan Ern Ser, seorang pakar sosiologi di Universiti Nasional Singapura (NUS), bertanggapan bahawa kurang bijak menilai adalah antara faktor-faktor utama anak muda mudah jadi mangsa penipuan.
Apabila ditanya sama ada golongan belia lebih menjadi sasaran penipu, Profesor Madya Tan berkata, pelaku sedemikian mungkin menyasarkan golongan yang paling mudah terpengaruh.
"Apa yang membuat mereka senang terpengaruh mungkin disebabkan rasa bimbang atau dalam kes warga emas, mereka kurang pengetahuan. Kelemahan individu yang mencari cinta dan keinginan golongan muda yang taksub naik kelas sosial menerusi 'jalan pintas'."
Tambahnya: "Saya percaya, dari segi penipuan wang, ia bermula dengan sikap tamak, dan kemudian tanggapan bahawa terdapat ada 'jalan mudah' untuk mencapai segala keinginan mereka, seperti kekayaan dan bersara pada usia 40 tahun atau lebih awal lagi."
Faktor-faktor lain termasuk "kecuaian" ataupun kealpaan yang disebabkan sudah terbiasa berurusan secara online dan di ruang siber, tambah Profesor Madya Tan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.