Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sikap memahami & rahmah perlu terus dipupuk meski pandemik bertambah baik, seru Mufti Negara

Kemenangan yang sudah dicapai bersama hasil dari ujian yang lalu harus dikekalkan, bahkan
diperkuatkan, agar tidak sia-sia segala pengorbanan, menurut Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kemenangan yang sudah dicapai bersama hasil dari ujian yang lalu harus dikekalkan, bahkan diperkuatkan, agar tidak sia-sia segala pengorbanan.

Peringatan ini ditekankan oleh Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam khutbah solat Aidilfitri bertajuk 'Mencari Kemenangan yang Berkekalan' yang disampaikan di Masjid Sultan pagi tadi (3 Mei).

Melalui khutbah yang disampaikannya itu, Dr Nazirudin turut menyeru agar sifat empati dan rahmah, yang dipelajari dan diterapkan ke dalam diri sepanjang pandemik COVID-19, akan diteruskan sekalipun kehidupan kita semakin bertambah baik.

Antara sifat-sifat yang menyerlah sepanjang dua tahun lalu termasuk menghargai pengorbanan petugas barisan
hadapan, pegawai dan sukarelawan yang menjaga keselamatan institusi-institusi masyarakat dan agama seperti masjid-masjid kita.

Ini selain bergotong-royong dan berganding bahu menghulurkan kerjasama, dengan membuat penyesuaian yang wajar dan berdisplin tinggi.

"Pada setiap ketika, kita memikirkan maslahat dan kepentingan bersama, bukan keinginan peribadi kita. Bukankah ini satu sikap yang sangat baik yang harus kita kekalkan bersama? Sikap yang akan diuji tatkala keadaan menjadi baik.

"Amat rugilah kita jika disiplin diganti dengan sikap leka dan cuai, kebersihan serta penyusunan rapi dan indah di masjid diganti dengan berselerak dan berkecah, keprihatinan terhadap pegawai dan sukarelawan diganti dengan sikap hanya mementingkan diri sendiri," kata Mufti Negara.

SEMANGAT KENTAL, TIDAK KENAL ERTI MENGALAH IDENTITI AGAMA KITA

Kejayaan dicapai apabila kita "sentiasa berusaha memperbaiki dan mempertingkat diri dan rohani", apabila kita "belajar dari segala ujian dan cabaran, apabila kita mengelakkan diri daripada kesilapan lama", kata Mufti, sambil mengenang kembali pahit manis Ramadan dan Syawal yang disambut dalam keadaan luar biasa pada tahun-tahun sebelum ini.

"Masih segar dalam ingatan kita semua bagaimana kita telah menyambut Ramadan yang luar biasa pada tahun-tahun sebelum ini. Pahit manis yang kita lalui. Ketika itu, kita rindukan masjid-masjid dan jemaah serta teman-teman untuk beribadah bersama. Tetapi pada masa yang sama, kita eratkan hubungan kekeluargaan dan cepat serta cermat mencari dan membuka pintu-pintu ruang kebaikan yang lain, apabila satu pintu kebaikan tertutup.

mufti

"Sikap dan semangat yang kental dan tidak kenal erti lemah atau mengalah menjadi identiti keagamaan kita. Kini, keadaan semakin bertambah pulih. Kita dapat merayakan Syawal dengan lebih meriah. Ini tidak bermakna ujian kini telah selesai, atau kita telah berjaya. Sehingga dengan mudah kita lupa segala pengajaran serta kembali kepada keadaan lama," tekan beliau.

Dalam khutbahnya, Dr Nazirudin juga merujuk kepada pergolakan dan krisis yang membelenggu masyarakat sejagat kebelakangan ini bagi memberikan gambaran bagaimana kebaikan yang sebelum ini dititikberatkan, kini hilang berganti dengan sifat-sifat buruk.

"Kita menyaksikan dunia yang baru semalam tenang dan sunyi akibat pandemik, hari ini diganti pula dengan pergolakan dan kekecohan. Baru satu ketika dahulu manusia menyayangi dan memelihara saudara dan teman, hari ini diganti dengan permusuhan dan persengketaan. Setiap nyawa yang sebelum ini dianggap berharga dan perlu dipelihara, hari ini tiba-tiba kita menyaksikan konflik yang mengorbankan nyawa," kata beliau.

UTAMAKAN KEBAIKAN, PERJUANGKAN KEADILAN

Lantaran itu, umat Islam diingatkan bahawa agama mendidik kita untuk berpegang teguh pada prinsip, menegakkan keadilan dalam segala urusan, menghapuskan segala bentuk kezaliman dan kesakitan dan berihsan dalam bermuamalah sesama manusia.

Ini kerana Mukmin yang sebenar akan sentiasa mengutamakan kebaikan, memperjuangkan kebaikan, mempertahankan kebaikan, tidak kira kepada sesiapa sekalipun.

"Oleh itu berpegang teguhlah pada prinsip dan nilai kebaikan ini, tidak kira apa keadaan dan situasi kita. Tidak kira jika seluruh umat manusia hilang arah tujunya," ujar Mufti.

Beliau menambah, dengan pendirian sebegini, keperibadian yang menitikberatkan kesatuan dan perpaduan, yang bertawakal kepada Tuhan akan dapat terus dibentuk.

Ini di samping terus berusaha untuk mencari huraian bagi segala permasalahan dengan bermuzakarah dan bermusyawarah dengan adab serta tatasusila yang baik.

"Banyak cabaran dalam kehidupan yang akan menjadi semakin meruncing pada masa hadapan. Sikap kita hari ini akan membentuk pendirian yang boleh membantu kita mengatasinya, atau menyebabkan kita tewas. Oleh itu, kita perlu istiqamah dan tabah, serta kekal bersatu di dalam memelihara kesejahteraan semua," tambah Dr Nazirudin.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan