Skip to main content

Singapura

Sikap liberal; sikap ingin tahu punca remaja terjebak dalam dadah

Sikap liberal terhadap penggunaan dadah di media sosial dan sifat ingin mencuba antara punca lebih ramai anak muda terjebak dalam dadah.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Jun 2023 10:17PM Dikemas Kini : 28 Jun 2023 10:11AM
BERITAmediacorp: Sikap liberal terhadap penggunaan dadah di media sosial dan sifat ingin mencuba antara punca lebih ramai anak muda terjebak dalam dadah.

Tinjauan Institut Kesihatan Mental (IMH) tahun lalu mendapati, lebih 40 peratus individu mula mengambil dadah sebelum usia 16 tahun.

Maka itu, Anggota Majlis, Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA) menekankan pentingnya peranan keluarga dan masyarakat dalam melindungi belia daripada pengaruh dadah.
'Mamat' bukan nama sebenar berpaling kepada dadah ketika usianya 16 tahun apabila mengalami tekanan hidup.

Ia menjadi "jalan keluar" setiap kali berlaku konflik dengan kedua orang tuanya.

Apa yang bermula sebagai "setakat ingin tahu" berubah menjadi satu ketagihan.

Ini lebih-lebih lagi kerana mudah bagi Mamat untuk mendapatkan bekalan daripada rakan-rakannya.

Akibatnya, dia yang kini berusia 25 tahun, sudah tiga kali keluar masuk penjara sejak 2019 dan kini menjalani pemulihan kali ketiga di Rumah Peralihan Pertapis (PHH).

"Saya menyesal kerana kalau saya tahu, akhirnya akan menjadi macam begini. Dadah itu bukan sesuatu yang dapat menyelesaikan masalah. Dadah itu akan melarat untuk kita akan jadi sesuatu yang kita perlukan harian, yang akhirnya kita akan menggunakan banyak duit. Masa banyak terluang dengan ini. Lepas itu ada yang juga sampai gadaikan nyawa kerana bila ambil dadah ini berlebihan, dadah itu akan cuba menguasai otak kita," kata 'Mamat', yang juga pernah dibuang sekolah.

Di bawah program Berasaskan Masyarakat (CBP) yang dijalaninya, 'Mamat' berjaya mendapatkan tugas sebagai seorang pembantu gudang semasa menjalani pemulihan.

Bapa kepada dua cahaya mata ini juga bertekad untuk berubah demi anak-anaknya.

"Saya ingin melihat mereka membesar, saya pun takut kalau saya tidak dapat jaga mereka dengan baik. Tapi setiap kali saya tengok mereka, saya terfikir balik. Kalau saya terjerumus balik, saya tak nampak mereka membesar," ujarnya.

PERGAULAN BEBAS; MAHU SENTIASA BERSERONOK ALASAN UNTUK AMBIL DADAH

Pergaulan bebas dan keinginan untuk sentiasa berseronok pula menyebabkan 'Atan' terjebak ke kancah dadah 20 tahun lalu.

Dia mengambil ganja dan dadah jenis 'ice' pada usia 18 tahun.

Akibatnya, beliau dipenjarakan sebanyak tujuh kali untuk pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

"Hampir 20 tahun hidup saya, saya tidak ada di luar. Saya tidak dapat mengalami apa orang biasa yang alami. Saya keluar jadi macam jakun," kata 'Atan', 38 tahun.

Selain terjebak dengan pengambilan dadah, beliau juga terdedah kepada pengambilan minuman keras.

"Hidup akan susah kalau ambil ini benda. Hidup akan jauh daripada orang-orang yang kita sayang, jauh daripada dunia yang betul. Semua dinding saja. Lebih hidup dekat situ daripada lebih dapat hisap itu dadah. Jadi tidak payah sudah," tambahnya, yang masih belum berumahtangga.

Beliau kini lebih bersemangat untuk berubah demi keluarga.

Kematian adik kesayangan semasa beliau dalam tahanan turut dijadikan iktibar untuk tinggalkan episod hitam hidupnya.

"Hidup ini terlalu singkat. Kita pun tidak tahu bila kita pergi. Kalau saya meninggal tengah cucuk (jarum) ke? Tengah hisap (dadah) ke tengah apa ke kan? Macam apa nanti? Kita ada agama. Mana nanti saya pergi? Apa nanti jadi pada saya?" ujar 'Atan' yang kini bertugas sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan.

Kedua-dua 'Mamat' dan 'Atan' bertekad untuk berubah.

Mereka mengharapkan sokongan dari keluarga dan teman-teman dalam usaha untuk kembali kepada masyarakat apabila dibebaskan akhir tahun ini.

KELUARGA; WAKIL-WAKIL MASYARAKAT DAN AGAMA BOLEH TAMPIL MEMBANTU

Sempena Hari Dadah Sedunia pada Isnin (26 Jun) tahun ini. Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA) menekankan peranan yang boleh dimainkan masyarakat untuk melindungi golongan belia daripada penyalahgunaan dadah.

Ini termasuk memastikan mereka tidak mudah terpengaruh dengan naratif-naratif pro dadah di media sosial.

"Berdasarkan hasil tinjauan masyarakat kesihatan dan gaya hidup oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) pada tahun 2022, sekurang-kurangnya satu daripada lima daripada pengguna dadah mengatakan bahawa rasa ingin tahulah yang merupakan sebab utama mereka mencuba dan menyalahgunakan dadah

"Kita harus melibatkan pelbagai anggota ataupun wakil masyarakat terutama sekolah-sekolah, anggota keluarga, rakan-rakan tempat kerja atau rakan-rakan sekolah dan juga kumpulan-kumpulan yang berasaskan etnik dan juga agama," kata Anggota Majlis, NCADA, Profesor Madya Elmie Nekmat.

Menerusi kempen 'What's Your Fix?' NCADA berharap ia dapat menyediakan ruang perbincangan untuk para belia berkongsi mereka tentang dadah.

Orang ramai juga boleh menjangkakan sebuah siri dokumentari menampilkan kisah sebenar bekas pesalah tidak lama lagi.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita