Skip to main content

Singapura

Sikap leka ancaman tersembunyi di sebalik kejayaan SG

Anggaran Waktu Membaca:
Sikap leka ancaman tersembunyi di sebalik kejayaan SG

Jika keamanan menyebabkan ancaman konflik terasa jauh, timbul kebimbangan bahawa orang ramai mungkin kurang bersedia menanggung kos untuk membuat persiapan menghadapinya. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 12 Aug 2026 09:55AM
  • Nicholas Fang dan Menteri Chan Chun Sing menegaskan bahawa sikap leka boleh menjadi ancaman tersembunyi bagi Singapura selepas dekad keamanan dan kemakmuran.
  • Pemerintah memberi amaran bahawa kejayaan ekonomi dan kestabilan boleh menyebabkan rakyat kurang bersedia menghadapi ancaman baharu, terutama dalam pertahanan negara.
  • Chan Chun Sing menyorot pentingnya kerjasama antarabangsa, dasar konsisten, dan komunikasi jelas untuk mengelak risiko leka dalam menghadapi cabaran global.
  • Rakyat Singapura digesa sentiasa peka, mengikuti perkembangan semasa, dan memahami risiko yang dihadapi negara agar tidak terperangkap dalam zon selesa.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sikap leka boleh menjadi ancaman tersembunyi di sebalik kejayaan Singapura selepas keamanan dan kemakmuran selama berdekad-dekad meningkatkan jangkaan bahawa negara ini akan terus terhindar daripada gangguan besar yang melanda dunia.

Pengasas dan pengarah urusan firma perundingan strategik Black Dot, Nicholas Fang, berkata Singapura mungkin menjadi "mangsa kejayaannya sendiri".

Menurutnya, keadaan negara yang berfungsi dengan baik selama beberapa dekad boleh menimbulkan tanggapan bahawa Singapura secara semula jadi akan terhindar daripada sebarang gangguan besar atau pemerintah akan menyelesaikan setiap masalah yang timbul.

Menteri Pertahanan Chan Chun Sing baru-baru ini beberapa kali mengetengahkan sikap leka sebagai antara kebimbangan utama.

Dalam satu persidangan pada 3 Ogos, Encik Chan, yang juga Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, memberi amaran bahawa sikap leka boleh menumpulkan keupayaan Singapura untuk bertindak balas terhadap ancaman baharu dan mengharungi landskap geopolitik yang semakin tidak menentu.

APABILA ANCAMAN KESELAMATAN TERASA JAUH

Menurut Encik Fang, kemungkinan kesan sikap leka paling ketara adalah dalam bidang pertahanan negara.

Generasi Perintis menyaksikan sendiri zaman bergolak, termasuk perpisahan Singapura daripada Malaysia dan tahun-tahun awal kemerdekaan yang mencabar.

Namun, generasi selepas itu menikmati keadaan yang semakin baik, dengan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) nominal per kapita melonjak daripada sekitar AS$500 (S$641) ketika Singapura mencapai kemerdekaan kepada lebih AS$100,000 (S$128,100) ketika ini.

Keamanan yang berpanjangan boleh menyebabkan ancaman ketegangan terasa semakin jauh dan menimbulkan kebimbangan bahawa masyarakat mungkin kurang bersedia menanggung kos untuk membuat persiapan menghadapinya.

Encik Chan sebelum ini turut merujuk perang Rusia dan Ukraine dengan menyatakan bahawa ramai rakyat Ukraine tidak percaya perang akan berlaku atau memilih untuk tidak mempercayai tanda-tanda amaran sebelum pertempuran tercetus.

Menurut Encik Fang, isu tersebut menjadi lebih nyata dalam konteks Perkhidmatan Negara (NS), yang merupakan tunggak penting ekosistem pertahanan Singapura dan bergantung kepada komitmen rakyat.

RISIKO EKONOMI

Risiko sikap leka juga wujud di luar bidang pertahanan.

Pemerintah pada Selasa (11 Ogos) menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Singapura bagi 2026 buat kali kedua tahun ini menyusuli prestasi yang lebih baik daripada jangkaan pada enam bulan pertama.

Ia dicapai meskipun perdagangan dan pasaran tenaga global terjejas akibat perang Iran serta tarif Amerika Syarikat, termasuk tarif 12.5 peratus terhadap eksport Singapura ke Amerika berhubung isu buruh paksa dalam rantaian bekalan.

Encik Chan sebelum ini menggariskan beberapa keutamaan Singapura, termasuk bekerjasama dengan negara lain dan bukannya memberi tumpuan ke dalam negara, sentiasa konsisten dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar, terus berhubung dengan dunia serta kekal sebagai rakan perdagangan yang boleh dipercayai.

Menurut Encik Fang, prestasi ekonomi Singapura yang kukuh tidak bermakna risiko yang dihadapi negara sebelum ini tidak wujud.

ELAK SIKAP LEKA

Encik Fang berkata antara cabarannya ialah usaha pemerintah menangani risiko luaran boleh terasa jauh daripada kehidupan seharian rakyat biasa.

Oleh itu, komunikasi yang berterusan dan konsisten penting bagi menjelaskan ancaman yang mungkin dihadapi, pertukaran yang diperlukan untuk mengatasinya serta perkara yang dipertaruhkan jika Singapura gagal berbuat demikian.

Namun, komunikasi itu perlu jelas dan telus tanpa menimbulkan ketakutan atau bersifat berpihak.

Pada masa sama, rakyat Singapura juga perlu terus peka dan berwaspada, mengikuti perkembangan semasa serta memahami faktor yang memberi kesan kepada negara dan dunia.

Menurut Encik Fang, usaha mengelakkan sikap leka akan menjadi semakin mencabar sedang persekitaran global dan domestik terus bertambah rumit.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita