Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sikap kian berubah terhadap PM atau Presiden bukan kaum Cina

Anggaran Waktu Membaca:
Sikap kian berubah terhadap PM atau Presiden bukan kaum Cina

Gambar fail Bangunan Parlimen di Singapura. (Gambar: Ngau Kai Yan)

SINGAPURA: Rakyat Singapura sudah menjadi lebih terbuka kepada idea memilih seorang pemimpin berjawatan tinggi yang bukan Cina. Ini berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh Mediacorp dan Institut Kajian Dasar (IPS).

Dalam edisi kedua tinjauan Mediacorp-IPS mengenai hubungan kaum, yang dijalankan tahun lalu, sebahagian besar responden berkata mereka boleh menerima orang Melayu warga Singapura (69.6 peratus) atau orang India warga Singapura (70.5 peratus) sebagai perdana menteri.

Para penyelidik berkata perangkaan itu adalah peningkatan ketara berbanding hasil kajian yang dijalankan pada 2016, di mana 60.8 peratus responden berkata mereka selesa dengan orang Melayu sebagai perdana menteri dan 64.3 peratus berasa sedemikian jika orang India yang menyandang jawatan itu.

Hampir semua responden, atau 96.8 peratus, boleh menerima orang Cina warga Singapura sebagai perdana menteri, meningkat sedikit berbanding 95.6 peratus pada 2016.

Para penyelidik juga mendapati bahawa responden daripada tiga kaum utama menunjukkan kecenderungan lebih tinggi terhadap seseorang daripada kaum mereka sendiri selaku perdana menteri.

Dalam kalangan responden Cina, hampir kesemuanya berkata mereka selesa dengan orang Cina warga Singapura sebagai perdana menteri (98.9 peratus), manakala 63.9 peratus berkata mereka akan menerima orang Melayu selaku perdana menteri Melayu dan 65.8 peratus pula akan menerima jika orang India yang menggalas jawatan itu.

Sebagai perbandingan, 92.6 peratus responden Melayu berkata mereka akan menerima seorang perdana menteri Melayu warga Singapura tetapi 87.5 peratus berasa selesa dengan orang Cina sebagai perdana menteri dan 80.4 peratus berasa sedemikian jika orang India yang menyandang jawatan itu.

Dalam kalangan responden India pula, 91.9 peratus menerima orang India warga Singapura sebagai perdana menteri tetapi 90.3 peratus berasa selesa dengan orang Cina menjadi perdana menteri dan 80.8 peratus berasa demikian seandainya orang Melayu memegang jawatan itu.

Bagi peranan selaku presiden, peratusan responden yang berkata mereka boleh menerima orang bukan Cina untuk menyandang jawatan itu juga meningkat.

Sekitar 82.2 peratus responden berkata mereka berasa selesa dengan orang Melayu warga Singapura selaku presiden - melonjak dari 65.5 peratus berbanding hasil kajian sebelum ini - dan 82 peratus boleh menerima orang India warga Singapura - meningkat dari 70.6 peratus pada 2016.

Dalam laporan setebal 240 muka surat itu, para penyelidik membayangkan bahawa peningkatan lebih tinggi itu mungkin disebabkan oleh Presiden Halimah Yacob, yang melunturkan "prasangka sebelum ini yang mungkin mengandaikan seolah-olah orang Melayu tidak sesuai untuk menyandang jawatan tertinggi negara".

Walaubagaimanapun, kebanyakan responden berasa "sangat tidak selesa" dengan idea bahawa warganegara baru dari mana-mana negara menyandang jawatan-jawatan ini. Kurang 10 peratus responden berkata mereka akan berasa selesa dengan warganegara baru selaku presiden atau perdana menteri.

Tinjauan berkenaan mengumpulkan maklum balas daripada lebih 2,000 rakyat serta penduduk tetap Singapura yang berusia 21 tahun dan ke atas, dengan sebuah sampel yang mencerminkan penduduk Singapura dari segi umur, kaum, jantina dan jenis perumahan mereka.

Bagaimanapun, sekitar 350 lagi responden Melayu dan India ditinjau agar pandangan mereka diwakili dengan betul.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan