Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sikap eksklusif dan antiagama tumpuan lebih utama RRG sekarang: Ustaz Dr Mohamed Ali

RRG akan memberi tumpuan kepada ideologi berbaur kebencian dan antiagama sedang ia memperbaharui kepimpinannya.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Kumpulan Pemulihan Kegamaan (RRG) akan memberi tumpuan kepada ideologi berbaur kebencian dan antiagama sedang ia memperbaharui kepimpinannya.

Ini dilakukan sedang dunia menyaksikan kejadian-kejadian pengganasan yang lebih didorong fahaman sedemikian.

"Ancaman utama hari ini bukan pengganasan dan keganasan. Pengganasan dan keganasan adalah akibat kecenderungan-kecenderungan yang wujud sebelum tindakan ganas itu dilakukan. Jika kita tidak dapat menangani kecenderungan seperti sikap eksklusif, ekstrem, antiagama, perkauman, xenofobia, semua ini akan menjurus kepada keganasan. Kita mahu pergi ke akarnya," jelas Ustaz Dr Mohamed Ali yang mengambil alih jawatan Pengerusi Bersama RRG daripada bapanya, Ustaz Ali Mohamed pada 1 September lalu.

Pembaharuan kepimpinan RRG berlaku ketika ia bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-20 tahun depan.

FAHAMAN ANTIAGAMA

Tragedi pengganas ke atas dua masjid di Christchurch pada 2019 dan serangan pengebom nekad ke atas gereja di Sulawesi pada 2021 adalah antara contoh bagaimana sikap kebencian terhadap agama boleh berakar umbi dan mendorong keganasan.
Singapura tidak terkecuali daripada pengaruh fahaman antiagama.

Pada 2020, seorang belia ditahan kerana merancang untuk menyerang dua buah masjid.

Setahun kemudian, seorang lagi belia ditahan kerana membuat rancangan untuk menyerang sebuah saumaah.

Ustaz Dr Mohamed berkata: "Kita lihat contoh dalam tahun-tahun kebelakangan ini bahawa wujud kecenderungan-kecenderungan yang menzahirkan rasa tidak senang terhadap agama lain. Ini sebenarnya menjadi pendorong bagi konflik antara agama."
Kejadian-kejadian ini menuntut masyarakat untuk menolak ideologi kebencian yang berleluasa terutama sekali dalam internet dan media sosial yang sebahagiannya bertujuan mempengaruhi anak-anak muda.

"Ini bahaya sebenarnya terutama sekali dalam konteks Singapura, kita tidak mampu untuk seseorang itu walaupun memberi satu komen yang tidak baik terhadap agama lain. Kalau kita tidak tangani isu ini, bermakna sentimen antiagama ini akan menjadi lebih besar," kata Ustaz Dr Mohamed.

ANCAMAN IS DAN JI

Peralihan tumpuan RRG itu bagaimanapun tidak bermakna ancaman pengganasan seperti yang dilakukan kumpulan pengganas IS sudah lenyap dan para pakar juga tidak menolak kemunculan semula kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI).

Namun apa yang dilihat di rantau ini, menurut Ustaz Dr Mohamed adalah anak-anak muda yang bukan hanya menyokong fahaman ekstremis kumpulan-kumpulan pengganas tetapi juga menjadi radikal sendiri, dipengaruhi oleh ideologi bersifat eksklusif.

"Ini menjadi fokus RRG setelah 20 tahun supaya kita harus meningkatkan kefahaman dalam perkara-perkara ini dan pada waktu yang sama cuba membimbing masyarakat supaya mereka pun tidak mudah terpengaruh dengan fahaman-fahaman ini. Kalau kita gagal untuk menangani fahaman ini, saya yakin ia boleh menjerumus kepada perbuatan pengganasan."

KERJA PERLUASAN DIRASMIKAN PADA 2023

Memberikan kemaskini kepada BERITAmediacorp, Ustaz Dr Mohamed berkata projek peningkatan dan perluasan Masjid Khadijah dan Pusat Sumber dan Kaunseling kendalian RRG yang dimulakan pada Julai lalu dijangka siap pada awal tahun 2023 dan dirasmikan pada pertengahan tahun.

Dengan perluasan itu, RRG berharap untuk meluaskan jangkauannya kepada masyarakat.

"Kita mengharapkan dengan adanya Pusat Sumber dan Kaunseling yang baru itu kita dapat lebih menerima ramai tetamu dan pelajar supaya mereka dapat mempelajari model Singapura dalam menangani masalah fahaman radikal dan keunikannya yang mana ia melibatkan penglibatan masyarakat yang bekerjasama rapat dengan pemerintah," tambah Ustaz Dr Mohamed.
KEAHLIAN RRG

Mengulas lebih lanjut tentang peranan bapanya, Ustaz Ali Mohamed dalam RRG, Ustaz Dr Mohamed berkata, beliau akan tetap memainkan peranan penting dalam kumpulan tersebut.

"Kini dengan pelantikan beliau sebagai Presiden Emeritus RRG beliau masih lagi berperanan terutama sekali dalam memberikan bimbingan dan nasihat juga halatuju bagi RRG, bagi kepimpinan RRG. Ini disebabkan kepakaran beliau, hikmah beliau yang mana beliau mengasaskan RRG dan juga penglibatan beliau dalam masyarakat."

Dalam pada itu beliau berkongsi bahawa RRG yang kini mempunyai 46 anggota belum mempunyai rancangan untuk menambah jumlahnya namun akan melakukannya jika terdapat keperluan, termasuk melibatkan lebih ramai anggota wanita dalam kalangan asatizah.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan