Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sijil akademik: Sejauh mana menjadi keutamaan syarikat dalam pengambilan pekerja?

Berbekalkan sijil GCE Peringkat 'A' dan kurang pengalaman bekerja, Cik Sarah Shaikha yang sedang mencari pekerjaan pada 2016, sedar beliau bersaing dengan mereka yang lebih berpengalaman dan mempunyai kelayakan akademik lebih baik.

Anggaran Waktu Membaca:
Sijil akademik: Sejauh mana menjadi keutamaan syarikat dalam pengambilan pekerja?

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 23 Sep 2019 11:48AM Dikemas Kini : 23 Sep 2019 11:51AM

SINGAPURA: Berbekalkan sijil GCE Peringkat 'A' dan kurang pengalaman bekerja, Cik Sarah Shaikha yang sedang mencari pekerjaan pada 2016, sedar beliau bersaing dengan mereka yang lebih berpengalaman dan mempunyai kelayakan akademik lebih baik.

Meskipun demikian, firma guaman Oon & Bazul LLP menawarkan pekerjaan kepadanya sebagai seorang penolong pentadbiran berdasarkan ciri-ciri yang mereka berpendapat beliau miliki dan bukan sijil akademiknya.

Kini, Cik Shaikha sudah dinaikkan pangkat menjadi seorang eksekutif sumber manusia dan merancang untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah secara sambilan dalam bidang sumber manusia.

Pengambilan pekerja seperti Cik Shaikha lebih menjadi kelaziman dengan lebih banyak syarikat yang terbuka menerima calon pekerja tanpa kelayakan akademik, menurut pengarah urusan Michael Page Singapore, Encik Nilay Khandelwal.

Encik Bazul Ashhab, rakan pengarah Oon & Bazul berkata: "Kami tidak menilai seorang calon berdasarkan kelakonannya dalam peperiksaan kebangsaan tetapi berdasarkan bakat, pengalaman dalam jangka terdekat dan aspirasinya."

Beliau menambah, Cik Shaika menunjukkan "minat mendalam dalam menangani hal berkenaan HR" setelah diambil bekerja. Ini mempengaruhi keputusan syarikat itu untuk menawarkannya jawatan sebagai eksekutif HR apabila terdapat peluang tersebut, tambah beliau.

Encik Bazul berkata lagi bahawa firma guaman itu akan "terus menyokong" Cik Shaikha sedang beliau melanjutkan pengajian di peringkat ijazah secara sambilan dan melihatnya sebagai "calon pengurus HR firma itu pada masa depan".

KELAYAKAN AKADEMIK BUKAN SATU-SATUNYA PENENTU

Penekanan berlebihan terhadap keputusan peperiksaan sekolah disentuh Menteri Pendidikan Ong Ye Kung dalam satu episod rancangan Talking Point terbitan saluran CNA baru-baru ini.

Beliau berkata meskipun adalah "wajar untuk bertanya tentang kelayakan", syarikat-syarikat tidak seharusnya menetapkan gred minimum bagi setiap mata pelajaran kecuali pekerjaan itu memerlukan pengetahuan dalam sesuatu mata pelajaran yang khusus.

Beliau menekankan perlunya anjakan paradigma untuk mencerminkannya.

Para pakar pengambilan pekerja bersetuju bahawa meskipun keputusan akademik boleh dijadikan anggaran, ia tidak seharusnya menjadi satu-satunya penentu dalam pengambilan pekerja.

Pengarah urusan firma pakar pengambilan pekerja Robert Half Singapore, Encik Matthieu Imbert-Bouchard, berkata bahawa "pengetahuan teori jarang sekali dapat menggantikan pengalaman amali" dan "tidak semestinya menunjukkan minat calon, potensi perkembangan mereka atau kesesuaian dengan budaya syarikat".

Meskipun demikian, para pakar sumber manusia berpendapat kebanyakan syarikat akan terus menggunakan kelayakan akademik sebagai kayu ukur terutamanya apabila mengambil graduan baru untuk bekerja kerana bimbang mengambil pekerja yang tidak layak bagi jawatan itu.

Ia bergantung kepada "keberanian mengambil risiko" setiap syarikat, kata Encik Khandelwal.

"Jika mereka sudah berjaya sejauh ini dengan cara tertentu, mereka mungkin agak lebih keberatan membuat perubahan." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan