Sifat ihsan ditonjolkan masyarakat Melayu/Islam setempat menerusi pelbagai cara semasa Aidiladha

Para jemaah di Masjid An-Nur (Gambar: Nurhelmy Hakim)
SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam tempatan terus memaparkan sifat ihsan yang ditonjolkan menerusi pelbagai cara.
Demikian kata Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli kepada media selepas sesi solat Aidiladha di Masjid An-Nur pada pagi Isnin (17 Jun).
Sikap mulia itu turut ditekankan dalam khutbah Aidiladha tahun ini yang bertajuk 'Pengorbanan Melahirkan Ketakwaan dan Keihsanan'.
MASYARAKAT DIAJAK PAPAR IHSAN, HAPUSKAN SIFAT RAKUS
Lebih 4,000 jemaah berhimpun bagi sesi pertama solat Aidiladha di Masjid An-Nur, manakala sekitar 2,000 lagi menghadiri sesi kedua.
Para jemaah yang hadir untuk sesi kedua disertai Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli, Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen dan Presiden MUIS, Encik Saat Abdul Rahman.
Solat sesi kedua dipimpin Timbalan Mufti Ustaz Dr Mohd Murat Md Aris.
Dalam khutbah yang disampaikan, Ustaz Murat mengingatkan masyarakat tentang erti sebenar pengorbanan, demi keamanan dan kesejahteraan sejagat.
Beliau juga menekankan bagaimana sifat rakus, tamak, mementingkan diri sendiri, dan mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan menjadi antara punca kemusnahan terhadap kehidupan dan alam sekitar.
Ustaz Dr Murat berkata: "Sebagai umat Islam yang mengaku dirinya khalifah di muka bumi ini. Kita perlu memelihara alam sekitar ini. Kita seharusnya berada di barisan hadapan dalam menyumbang kepada penyelesaian terhadap cabaran kewujudan ini.
"Bersikap ihsan lah dalam setiap sesuatu. Jangan tamak. Jangan membazir. Hayati amalan kitar semula seberapa yang boleh kita lakukan. Sedikit sumbangan kita akan menyumbang kepada natijah keseluruhannya," tambah beliau.
MASYARAKAT MELAYU/ISLAM TEMPATAN TONJOLKAN KEIHSANAN SEMASA AIDILADHA
Mengulas tentang pesanan itu, Encik Masagos Zulkifli berkata masyarakat Islam tempatan terus memaparkan sifat ihsan dalam pelbagai aspek kehidupan seharian.
Semangat itu ditonjolkan semasa Aidiladha kali ini.
"Para jemaah kita juga sudah terbiasa dengan beberapa masjid menjalankan solat Aidiladha bukan satu sesi, tetapi dua atau tiga sesi. Ini melambangkan sikap keihsanan yang dipesan menerusi khutbah Aidiladha kali ini iaitu bagaimana kita menjalankan ibadah kita dan mengambil kira keselesaan satu sama lain dan keselamatan," ujar Encik Masagos kepada media selepas sesi solat Aidiladha.
Sifat keihsanan itu juga kata Encik Masagos, dilihat menerusi respons menggalakkan masyarakat Melayu Islam untuk melakukan ibadah korban, terutama sekali di luar negara.
"Bagi ibadah korban, jemaah kita memilih untuk melakukannya di luar negeri. Dagingnya akan diagihkan di Singapura dan sisanya ke merata dunia untuk orang memerlukan, apatah lagi dalam keadaan yang dialami ramai umat Islam," kata beliau.
Sebanyak 4,323 haiwan korban ditempah menerusi inisiatif SalamSG Korban tahun ini.
Secara keseluruhannya, 52 masjid menawarkan perkhidmatan korban luar negara di Australia melalui SalamSG Korban.
Bagi Masjid An-Nur yang terletak di Marsiling, kesemua 270 slot korban iaitu untuk 80 kambing biri-biri, 120 kambing, dan 70 lembu habis ditempah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.