Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sidang sulung ICCOS sumbang pengetahuan untuk masyarakat Muslim minoriti: Masagos

Anggaran Waktu Membaca:
Sidang sulung ICCOS sumbang pengetahuan untuk masyarakat Muslim minoriti: Masagos

Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli

SINGAPURA: Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) membolehkan perbualan yang begitu mendalam dan menyumbang kepada kerangka keilmuan bagi masyarakat minoriti Islam untuk membuat keputusan yang tepat apabila menghadapi cabaran.

Demikian ulasan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli di laman Facebook beliau pada Ahad (11 Sep).

Encik Masagos mengucapkan penghargaan beliau kepada Tetamu Kehormat Perdana Menteri Lee Hsien Loong, semua penceramah dan peserta ICCOS kerana berkongsi pengetahuan dan kebijaksanaan mereka di persidangan yang berakhir semalam itu.

"Dalam interaksi saya sepanjang dua hari, ada satu tema yang serupa, maksudnya, tetamu kami bersyukur dan menghargai kerana MUIS telah menganjurkan acara sebegitu.

"Bagi kebanyakan orang, ini adalah kali pertama mereka berbual dan membincangkan tentang kemajuan minoriti Islam yang lain, dan ini merupakan peluang untuk mereka belajar daripada amalan terbaik, membuat hubungan baru dan bekerjasama secara lebih luas," kata Encik Masagos.

Tambahnya, para penceramah dan peserta antarabangsa juga kagum dengan bagaimana Pemerintah Singapura sangat komited untuk memacu dan menyokong pembangunan Masyarakat Muslim Gemilang.

"Kami banyak menyentuh tentang 3C - Perwatakan, Kecekapan dan Kewarganegaraan dan bagaimana ini membentuk asas sebuah Masyarakat Muslim Gemilang.
Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli
"Mufti telah merumuskan secara ringkas perbincangan yang menarik iaitu pemimpin agama dan masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat Islam kekal berpasak pada tradisi Islam kita sambil bertindak balas dengan baik kepada cabaran kontemporari," kata Encik Masagos lagi.

Semasa menyertai satu perbincangan panel terakhir ICCOS, Encik Masagos berkongsi bahawa apabila Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, masyarakat Islam secara tiba-tiba menjadi masyarakat minoriti. Namun para pemimpin perintis Singapura memilih untuk melindungi dan menginstitusikan keperluan umat Islam melalui AMLA.
Di peringkat global pula, MUIS akan membina kerjasama dengan masyarakat Islam lain.

"Seperti yang saya umumkan, Yayasan Rahmatan Lil Alamin akan menganjurkan lawatan di bawah Program Kerjasama Singapura yang bertujuan membantu negara lain membangunkan modal insan dan meningkatkan kerjasama antara negara kita.

"Sesungguhnya, usaha untuk merealisasikan impian bersama kami baru sahaja bermula. Dengan itu, saya berharap kita dapat bertemu lagi, sama ada di Singapura atau di luar negara sambil kita memupuk persahabatan dan meneruskan perbualan penting dalam membina Masyarakat Muslim Gemilang," ujar beliau.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada MUIS atas perancangan rapi dan kejayaan pelaksanaan persidangan sulung itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan