Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sidang Puncak ASEAN-AS bukti AS 'hargai kerjasama' dengan Asia Tenggara, kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
02:59 Min
Sidang Puncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat menunjukkan betapa Amerika Syarikat (AS) menghargai kerjasamanya dengan Asia Tenggara di tengah-tengah "detik yang sangat penting dalam ehwal sejagat". 
Diterbitkan : 14 May 2022 03:13PM Dikemas Kini : 14 May 2022 11:24PM

WASHINGTON: Sidang Puncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat menunjukkan betapa Amerika Syarikat (AS) menghargai kerjasamanya dengan Asia Tenggara di tengah-tengah "detik yang sangat penting dalam ehwal sejagat". 

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat (13 Mei). 

"Kita menyaksikan peperangan di Ukraine yang dicerobohi Rusia. Kita juga sedang bangkit dari pandemik COVID-19. Kita juga sedang berdepan dengan beberapa isu serantau. Hubungan AS-China rumit dan sulit." 

"Dan di tengah-tengah semua ini, untuk AS memberi tumpuan kepada ASEAN dan mengundang pemimpin-pemimpin ASEAN ke sini, memupuk dan mengukuhkan hubungan itu, saya rasa ia menunjukkan betapa AS menghargai kerjasamanya dengan ASEAN, Asia Tenggara dan mereka juga ingin lebih bekerjasama dengan kita. Ini satu petanda yang baik bagi rantau ini dan juga untuk kita. 

"Singapura sejak sekian lama berpandangan bahawa AS memainkan peranan yang penting dan membawa kesan yang ketara di rantau ini. Tiada negara lain boleh menggantikan AS bagi peranan itu imbangan serantau sedang beralih. Dengan ini, kita menghargai usaha AS untuk terus mendampingi dan berurusan dengan kita." 

PM Lee berkata demikian semasa diwawancara oleh para wartawan dari Singapura di akhir lawatannya ke Washington DC untuk menghadiri Sidang Puncak Khas ASEAN-AS. 

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas sidang puncak itu, negara-negara anggota ASEAN dan AS komited untuk menubuhkan Kerjasama Strategik Menyeluruh ASEAN-AS pada November. 

Negara-negara anggota ASEAN juga menegaskan komitmen masing-masing untuk memelihara dan menggalak keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini 

Kenyataan bersama itu turut menyentuh tentang situasi di Myanmar di mana negara-negara anggota ASEAN dan AS berkata mereka tetap "sangat prihatin". 

Pemimpin-pemimpin yang menggesa Myanmar supaya melaksanakan Konsensus Lima Perkara dengan "pantas dan menyeluruh", komited untuk menyokong usaha ASEAN mencari jalan keluar bagi menamatkan krisis tersebut.

"Kami menegaskan sekali lagi komitmen kami untuk mencari kedamaian dan kestabilan di rantau ini dan akan terus menggesa  Myanmar supaya menghentikan keganasan dan membebaskan semua tahanan politik, termasuk warga asing," menurut kenyataan tersebut. 

KABINET MUNGKIN DIROMBAK BULAN DEPAN

PM Lee juga memberitahu para wartawan bahawa beliau mungkin akan membuat perubahan pada barisan Kabinet pada awal Jun.

PM Lee berkata demikian apabila ditanya sama ada terdapat sebarang perubahan pada barisan Kabinet dan jika terdapat pelan penggantian, sekitar sebulan selepas Menteri Kewangan Lawrence Wong dipilih sebagai ketua pasukan pemimpin 4G Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Dengan pengumuman yang dibuat pada 14 April lalu, ia sekali gus membuka laluan kepada Encik Wong untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

Encik Wong menjadi 'pilihan majoriti', menurut mantan menteri Khaw Boon Wan.

"Saya perlu menumpukan perhatian kepada lawatan ini dan saya juga akan melakukan satu lagi lawatan dalam masa dua minggu akan datang ke sidang Nikkei (di Jepun)," kata PM Lee. Saya berharap saya dapat melakukannya sebaik saja saya selesai melakukan lawatan-lawatan tersebut, iaitu sekitar awal Jun."

Di sidang media selepas Encik Wong diumumkan sebagai ketua pasukan pemimpin 4G pada April, PM Lee ada mengatakan bahawa keputusan sama ada beliau atau Encik Wong akan menerajui PAP bagi pilihan raya akan datang adalah keputusan yang akan dibuat kemudian. 

"Saya akan berbincang dengan Lawrence, dan kami akan memutuskan apakah strategi terbaik buat kita bagi pilihan raya umum akan datang," kata PM Lee kepada para wartawan ketika itu sambil menambah bahawa keputusan tersebut akan bergantung kepada “bagaimana keadaan berubah".

Pilihan Raya Umum seterusnya harus diadakan sebelum 2025.

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan