Sidang Parlimen disiarkan secara langsung mulai 4 Jan
Singapura akan menyiarkan sidang Parlimen secara langsung bermula dengan sesi pada Isnin (4 Jan), menurut Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dalam kenyataan medianya.
SINGAPURA: Singapura akan menyiarkan sidang Parlimen secara langsung bermula dengan sesi pada Isnin (4 Jan), menurut Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dalam kenyataan medianya.
Orang ramai boleh menyaksikan versi asal dan juga versi prosiding yang diterjemahkan dalam masa nyata melalui laman YouTube MCI.
Pada sidang Parlimen pada September lalu, Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran berkata Pemerintah bersetuju "secara prinsip" untuk menyiarkan secara langsung sesi sidang Parlimen.
Pengumumannya dibuat lima bulan selepas mantan Ketua Dewan Grace Fu menolak gesaan untuk menyiarkan sesi Parlimen secara langsung, sambil menarik perhatian bahawa terdapat cara lain untuk orang ramai mengikuti sidang Parlimen, termasuk ucapan melalui video dan perbahasan yang dimuat naik ke laman mikro Parlimen CNA.
Wadah-wadah sedemikian akan terus disediakan, menurut MCI. Orang ramai juga boleh menyaksikan persidangan itu secara fizikal melalui Strangers' Gallery, rakaman video melalui laman CNA dan membaca catatan bertulis penuh mengenai prosiding Parlimen melalui sistem Hansard di laman Parlimen.
Sidang Parlimen pada Isnin dijadual bermula pada pukul 1.30 tengah hari.
Agenda utama dalam sidang hari ini adalah situasi COVID-19, dengan pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian - Menteri Kesihatan Gan Kim Yong dan Menteri Pendidkan Lawrence Wong - dijangka akan menyampaikan kenyataan menteri termasuk kemas kini ketiga mengenai respons Pemerintah terhadap pandemik COVID-19.
Para Anggota Parlimen termasuk Dr Lim Wee Kiak, Encik Lim Biow Chuan, Cik Foo Mee Har dan Cik Sylvia Lim turut mengajukan soalan mengenai vaksinasi bagi COVID-19.
Beberapa topik lain berkaitan COVID-19 juga dijangka akan dibangkitkan, termasuk bagaimana Singapura merancang untuk menangani varian baru COVID-19 yang dilaporkan sangat mudah berjangkit dan kini dikesan di Britain dan strategi Pemerintah untuk membuka semula ekonomi secara bertahap-tahap.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.