Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sidang COI bagi serangan siber SingHealth dijadual bermula 28 Ogos

Jawatankuasa Siasatan (COI) yang ditubuhkan untuk menyiasat serangan siber terhadap sistem-sistem IT SingHealth akan mengadakan perbincangan pertamanya pada 28 Ogos.

Anggaran Waktu Membaca:
Sidang COI bagi serangan siber SingHealth dijadual bermula 28 Ogos

(Gambar: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 07 Aug 2018 10:02PM Dikemas Kini : 07 Aug 2018 10:11PM

SINGAPURA: Jawatankuasa Siasatan (COI) yang ditubuhkan untuk menyiasat serangan siber terhadap sistem-sistem IT SingHealth akan mengadakan perbincangan pertamanya pada 28 Ogos.

Semua perbincangan akan diadakan secara terbuka, kecuali jika maklumat yang dibentangkan boleh mengancam keselamatan negara. Ini jika bukti yang dibentangkan itu akan dieksploitasi untuk tujuan melancarkan serangan-serangan siber yang lain atau sekiranya maklumat peribadi para pesakit didedahkan.

Bagi kes-kes sedemikian, perbincangan itu akan diadakan secara tertutup, menurut Sekretariat COI dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa (7 Ogos). Perbincangan pertama pada 28 Ogos akan diadakan secara tertutup.

Para saksi pakar akan diundang untuk memberikan bukti berhubung langkah-langkah keselamatan siber. COI juga akan mengunjungi SingHealth untuk mendapatkan taklimat mengenai reka bentuk rangkaian sistem IT yang terjejas akibat serangan siber itu.

"COI juga akan menerima kenyataan daripada orang awam dan ia akan menasihati orang ramai mengenai bilakah dan bagaimana untuk mengemukakan kenyataan-kenyataan tersebut," menurut kenyataan media itu.

Peguam Cara Negara, Kwek Mean Luck, dipilih oleh Peguam Negara untuk menyelia bukti-bukti yang dikemukakan dalam siasatan tersebut.

COI akan meneliti insiden-insiden dan faktor-faktor yang menyumbang kepada serangan siber berkenaan, yang menyebabkan maklumat peribadi milik 1.5 juta pesakit, termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dicerobohi dan disalin.

COI mengadakan sidang pra-siasatannya yang pertama pada Selasa (7 Ogos), di mana Encik Kwek memaklumkan jawatankuasa itu bahawa Pendakwa Raya sudah melantik sebuah pasukan siasatan yang akan diterajui oleh Agensi Keselamatan Siber. Agensi itu akan disokong oleh Jabatan Siasatan Jenayah dalam usaha menyiasat sebarang perkara yang relevan dengan siasatan tersebut.

Peguam Cara Negara juga menarik perhatian bahawa sesetengah aspek siasatan sudahpun selesai dijalankan dan Pejabat Peguam Negara (AGC) akan membentangkan bukti yang diterima daripada saksi pertama, menurut Sekretariat COI.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan