Skip to main content

Singapura

Siasatan dijalankan selepas orang ramai berkumpul luar kedai Foot Locker di Orchard: STB

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan pada Sabtu (5 Dis) ia maklum bahawa orang ramai telah berhimpun di luar cawangan Foot Locker di Orchard Gateway pada Jumaat malam (4 Dis), sambil menambah siasatan sedang dijalankan.

Anggaran Waktu Membaca:
Siasatan dijalankan selepas orang ramai berkumpul luar kedai Foot Locker di Orchard: STB

Gambar-gambar yang tular di media sosial pada 4 Dis.

Diterbitkan : 05 Dec 2020 08:34AM Dikemas Kini : 05 Dec 2020 08:36AM

SINGAPURA: Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan pada Sabtu (5 Dis) ia maklum bahawa orang ramai telah berhimpun di luar cawangan Foot Locker di Orchard Gateway pada Jumaat malam (4 Dis), sambil menambah siasatan sedang dijalankan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas tular gambar-gambar menunjukkan orang ramai berkumpul di luar kedai kasut dan pakaian sukan itu dan melanggar peraturan jarak selamat COVID-19. Kenderaan polis juga dapat dilihat dalam gambar-gambar tersebut.

STB menyatakan orang ramai bersurai selepas para Duta Jarak Selamat dan pegawai polis tiba pada kira-kira pukul 8.30 malam.

"Siasatan sedang dijalankan kerana cawangan Foot Locker sudah berulang kali menerima nasihat mengenai pengurusan orang ramai tetapi tetap menganjurkan acara-acara yang menarik jumlah jumlah pengunjung yang ramai," kata Cik Ranita Sundramoorthy, pengarah operasi langkah jarak selamat di STB.

"STB memandang serius sebarang pelanggaran peraturan jarak selamat, dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu dan perniagaan yang tidak mematuhinya," tambahnya.

Di bawah Akta (Langkah Sementara) COVID-19, para pesalah kali pertama boleh dikenakan denda sehingga S$10,000, hukuman penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya. Para pesalah berulang boleh dikenakan denda sehingga S$20,000, hukuman penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.

Jangkitan baru COVID-19 dalam masyarakat kekal rendah, dengan kesemuanya empat kes dilaporkan pada minggu lalu yang buat masa ini tidak mempunyai hubung kait dengan kes-kes sebelumnya.

Namun, para pakar memberi amaran virus itu akan sukar untuk dihapuskan dengan masih terdapat kelompok kes COVID-19 tidak bergejala yang tidak dikesan atau sudah pulih dalam masyarakat.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita