Skip to main content

Singapura

Siasatan CPIB terhadap Iswaran satu 'kegenjotan'; sistem SG akan bangkit lebih kukuh, kata Tharman

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Jul 2023 03:08PM Dikemas Kini : 15 Jul 2023 09:09PM
SINGAPURA: Mantan Menteri Kanan, Tharman Shanmugaratnam berkata siasatan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) terhadap Menteri Pengangkutan, S Iswaran merupakan satu kegenjotan tetapi beliau yakin "sistem Singapura" dapat menanganinya dan bangkit lebih kukuh.

"Singapura melalui keadaan pasang surut beberapa kali. Namun, setiap kali kita mengalami masalah yang sukar, satu perkara yang baik tentang Singapura ialah kita akan berjaya mengatasinya dan mengukuhkan lagi sistem kita untuk menjadi tempat yang lebih baik," kata bakal calon Pilihan Raya Presiden itu pada Sabtu (15 Jul).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan wartawan semasa berkunjung ke Pusat Beli Belah Teck Whye. Encik Tharman juga ditanya sama ada insiden itu akan menjejas pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP).

"Itu terpulang kepada pertimbangan PAP. Saya tidak lagi dalam PAP. Itu soalan politik untuk dipertimbangkan PAP," kata beliau.

Encik Iswaran dan pengarah pengurusan Hotel Properties Limited Ong Beng Seng diberkas CPIB pada Selasa (11 Jul). Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengarahkan Encik Iswaran supaya mengambil cuti ketidakhadiran.

Sebagai sebahagian daripada syarat dibebaskan dengan ikat jamin, pasport Encik Iswaran dan Encik Ong ditahan. Permohonan Encik Ong untuk melakukan perjalanan ke luar negara diluluskan tetapi kuantum ikat jaminnya dinaikkan kepada S$100,000.

"Setiap kali ada masalah, jadikan kegenjotan itu satu peluang untuk memperkukuhkan sistem dan mempamerkan ketelusan," kata Encik Tharman.

Beliau menekankan lagi bahawa sistem Singapura "dilakarkan dengan cara untuk memastikan di mana tidak ada ruang bagi kompromi apabila ia melibatkan integriti".

"Setiap kali soalan ditimbulkan, apa sahaja berkaitan integriti, bebas rasuah, kami memandangnya dengan serius, CPIB diberi kebebasan sepenuhnya, ia akan menjalankan tugasnya."

Mantan Menteri Kanan itu juga sedia maklum bahawa tidak pernah ada Perdana Menteri yang cuba menghalang CPIB daripada menjalankan kewajibannya tetapi menambah "sekiranya itu terjadi, akan ada Presiden".

Menyifatkan dirinya sebagai seorang optimis, Encik Tharman berkata beliau menjangkakan Singapura tidak akan terus terjejas oleh kes ini dan tumpuan akan akhirnya kembali beralih kepada "isu-isu yang benar-benar penting kepada rakyat".

Sungguhpun demikian, beliau menegaskan bahawa mempunyai keyakinan terhadap sistem Singapura sangat penting bagi masa depan negara. Ini "amat penting buat negara ini" kerana ia membina kepercayaan - kepercayaan antara pemerintah dengan rakyat, dan juga kepercayaan rakyat antara satu sama lain, ujarnya.

Ia turut membina kepercayaan terhadap Singapura di peringkat antarabangsa, tambah beliau.

"Ia mungkin tidak penting bagi negara lain, tetapi Singapura lain dan Singapura harus tampil berlainan, kerana kita tidak punya banyak perkara lain," jelas Encik Tharman. "Kita mempunyai rakyat dengan kemahiran dan kepakaran masing-masing, kemajuan yang dicapai jauh berbeza berbanding dahulu, tetapi pada akhirnya yang penting adalah sistem Singapura."

"BUKAN AKHIR" BAGI ISWARAN

Encik Tharman berkata bahawa beliau sudah mengenali Encik Iswaran "buat tempoh yang lama" dan memberi amaran terhadap sebarang spekulasi buat masa ini.

Katanya: "Ini bukan titik akhir hidup atau masa depannya. Beliau akan dapat mengatasi ini. Namun biarkan siasatan dijalankan dahulu. Kita ada sistem dan ia akan membantu menghuraikannya."

Encik Tharman, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, bulan lalu memaklumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong tentang keputusannya untuk bersara daripada politik dan semua jawatan dalam pemerintah, untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Singapura.

Sidang parlimen terakhir bagi Encik Tharman adalah pada 6 Julai lalu.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita