Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siasatan Cordlife: Seorang lagi pengarah diberkas di tengah-tengah siasatan salah urus unit darah tali pusat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lagi pengarah Cordlife diberkas di tengah-tengah siasatan ke atas kes salah kendali darah tali pusat syarikat tersebut.

Menurut pemfailan ke Bursa Singapura pada Jumaat (5 Apr), Encik Yiu Ming Yiu, pengarah bukan eksekutif dan bukan bebas dalam lembaga pengarah syarikat tersebut, telah ditangkap dan dibebaskan dengan ikat jamin selepas disoal siasat di pejabat Jabatan Ehwal Komersial (CAD).

Yiu merupakan individu ketujuh diberkas berkaitan kes tersebut.

"Pihak syarikat memahami bahawa kesalahan itu adalah sama dan berkaitan dengan pelanggaran kewajipan syarikat berhubung dengan suhu tidak teratur tangki simpanan kriogenik tertentu syarikat, yang pertama kali didedahkan oleh syarikat itu dalam pengumumannya bertarikh 30 Nov 2023," kata Cordlife.

Tujuh daripada tangki simpanan Cordlife terdedah kepada suhu melebihi had yang ditetapkan, merosakkan unit darah tali pusat kepunyaan sekurang-kurangnya 2,150 pelanggan. 17,000 lagi pelanggan mungkin terjejas.

Empat pengarah yang tidak berpangkalan di Singapura dikehendaki menghadiri sesi soal siasat polis pada 2 Apr. Selain Encik Yiu, tiga lagi adalah mantan pengerusi Joseph Wong Wai Leung, Encik Zhai Lingyun dan Cik Chen Xiaoling.

Encik Wong memaklumkan CAD bahawa beliau tidak dapat menghadiri sesi soal siasat itu atas sebab kesihatan dan "tidak pasti pada tarikh seterusnya sementara menunggu persetujuan CAD".

Encik Zhai dan Cik Chen juga telah mendapat persetujuan CAD untuk menangguhkan temuduga polis mereka kepada 21 Mei.

Menurut laman web Cordlife, Encik Yiu pertama kali dilantik sebagai pengarah syarikat itu pada 1 Dis 2021, dan kali terakhir dipilih semula pada 29 Apr 2022.

Encik Yiu merupakan pengerusi Everest-Fortune (China) Commercial Factoring, sebuah syarikat yang terlibat terutamanya dalam perniagaan di China.

Encik Yiu juga naib pengerusi TransGlobal Group (International), yang pakar dalam pembangunan hartanah, serta pembinaan dan pengendalian aset tol jalan raya di Hong Kong dan China.

Selain Encik Yiu, enam lagi yang telah ditangkap dan dibebaskan dengan jaminan ialah: mantan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Poh Lan, Ketua Pegawai Kewangan Thet Hnin Yi, pemangku pengerusi Ho Choon Hou, pengarah bebas Yeo Hwee Tiong dan Titus Jim Cheong Tuck Yan, serta pengarah bukan eksekutif dan bukan bebas Chow Wai Leong.

Cordlife menyatakan bahawa pihaknya akan terus menggantung sesi perdagangan setakat Jumaat, sementara menunggu "pengumuman muktamad yang akan dikeluarkan secara berasingan".
Cordlife turut menekankan bahawa adalah "untuk kepentingan" syarikat jika semua pengarah terus berkhidmat dalam lembaga pengarah.

Syarikat itu akan memantau perkembangan siasatan dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan semua penguasa kawal selia, katanya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan