Skip to main content

Singapura

Siaran politik SMC Hougang: WP tekankan perlu 'Parlimen seimbang'; PAP janji peluang kerja bagi penduduk

Calon Parti Pekerja (WP) Dennis Tan dan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) Lee Hong Chuang menyampaikan siaran politik kawasan undi bagi SMC Hougang pada Sabtu (4 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Siaran politik SMC Hougang: WP tekankan perlu 'Parlimen seimbang'; PAP janji peluang kerja bagi penduduk

Calon WP Dennis Tan (kiri) dan calon PAP Lee Hong Chuang menyampaikan siaran politik SMC Hougang pada Sabtu (4 Jul).

Diterbitkan : 05 Jul 2020 02:19AM Dikemas Kini : 05 Jul 2020 02:22AM

SINGAPURA: Calon Parti Pekerja (WP) Dennis Tan dan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) Lee Hong Chuang menyampaikan siaran politik kawasan undi bagi SMC Hougang pada Sabtu (4 Jul).

Kedua-duanya berucap dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

Ucapan Encik Tan, yang dipilih bertanding menggantikan mantan AP Hougang, Png Eng Huat, disiarkan dahulu.

WP: SATU LAGI AP PAP "TIDAK AKAN BAWA PERUBAHAN"

Encik Tan, mantan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), memulakan ucapannya dengan menyentuh bagaimana para pengundi di Hougang, sejak 1991, memahami pentingnya memiliki suara alternatif di Parlimen "lebih daripada orang lain di Singapura".

WP memegang kawasan undi perseorangan itu sejak mantan ketua parti Low Thia Khiang menang pada 1991.

Encik Tan juga menyentuh tentang pandemik COVID-19, dengan berkata terdapat kekurangan dalam cara Pemerintah menangani krisis itu.

"Lebih dari sebelumnya kini, kita perlu Parlimen yang seimbang agar rakyat Singapura mendapat manfaat daripada pemeriksaan ke atas kepemimpinan PAP 4G yang tidak menentu," katanya.

Encik Tan juga berkata seorang lagi AP PAP tidak akan "membawa perbezaan" kerana individu itu tidak akan dapat menjadi "suara anda dan mengundi menentang partinya".

Tetapi sebagai AP WP, Encik Tan berkata beliau akan bersuara untuk penduduk, dan "jika perlu, mengundi menolak sebarang Rang Undang-Undang atau usul yang tidak diingini". Menurutnya beliau sudah melakukan demikian dalam Parlimen yang lalu.

Selain itu, calon PAP yang kalah masih kekal sebagai penasihat akar umbi, katanya.

Encik Tan mengetengahkan pelbagai program peningkatan di Hougang sejak 2011 dan berkata jika dipilih, beliau akan berusaha memastikan program tersebut berjaya diselesaikan.

Encik Tan juga mengingatkan pengundi bahawa pilihan raya ini adalah mengenai masa depan mereka dan masa depan anak mereka. Maka itu, undi mereka akan menghantarnya kembali ke Parlimen untuk bersuara bagi mereka.

PAP: TUMPUAN CIPTA KERJA BAGI PENDUDUK

Dalam ucapannya, Encik Lee menyentuh tentang "semangat kekeluargaan" di Hougang, dengan berkata ia ibarat "sebuah keluarga besar yang berkumpul dan menghulurkan bantuan apabila salah seorang dari anggotanya dalam kesusahan".

"Kita perlu menjaga warga emas kita, keluarga, muda dan belia tanpa mengira kaum, bahasa atau agama," katanya.

Menyentuh tentang pandemik COVID-19, Encik Lee berkata ia menjejas kehidupan banyak warga Singapura dan berjanji akan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk Hougang.

"Pemerintah komited untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan. Saya akan membantu penduduk Hougang (untuk) beralih ke pekerjaan baru. Saya akan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk dengan bekerja rapat dengan perusahaan dan pertubuhan yang berbeza,” katanya.

Encik Lee menggulung ucapannya dengan meminta sokongan pengundi.

"Bersama dengan anda, kami dapat melakukan lebih banyak lagi. Tolong beri saya sokongan anda untuk berkhidmat kepada anda,” katanya.

Ini adalah kali kedua Encik Lee bertanding di SMC Hougang. Beliau kalah kepada Encik Png dari WP pada Pilihan Raya Umum 2015, memperolehi 42.3 peratus undi.

Hougang mempunyai 26,468 penduduk yang layak mengundi kali ini.  

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita