Siaran Politik GRC Sembawang: PAP tumpu kepada pembangunan estet, NSP tekankan kos sara hidup, bantuan penduduk
Para calon dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP), yang bersaing bagi merebut Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sembawang, membentangkan usul mereka kepada pengundi dalam siaran politik kawasan undi pada Selasa (7 Jul).
Petikan video barisan calon daripada PAP dan NSP bagi GRC Sembawang membuat ucapan semasa siaran politik kawasan undi pada 7 Jul 2020.
SINGAPURA: Para calon dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP), yang bersaing bagi merebut Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sembawang, membentangkan usul mereka kepada pengundi dalam siaran politik kawasan undi pada Selasa (7 Jul), hanya tiga hari sebelum rakyat Singapura keluar mengundi.
Pasukan PAP dipimpin oleh Encik Ong Ye Kung, 50 tahun. Empat anggota lain adalah Encik Vikram Nair, 41 tahun dan Dr Lim Wee Kiak, 51 tahun, serta muka-muka baru, Cik Mariam Jaafar, 43 tahun, dan Cik Poh Li San, 44 tahun.
Encik Ong berkata pasukannya berpegang kepada tiga nilai apabila berkhidmat kepada penduduk: Pemahaman mereka tentang perwatakan dan sejarah Sembawang, inovasi dan bersikap terbuka. Nilai-nilai ini, katanya, membimbing bagaimana pasukan itu melaksanakan apa yang diingini oleh penduduk dengan cara yang "bermakna dan konkrit".
Beberapa pembangunan baru yang direncanakan oleh pasukan tersebut meliputi: hab masyarakat Sembawang Kita di Bukit Canberra, kampus jagaan kesihatan baru dengan 2,200 katil di Woodlands dan penyambung taman utara sejauh 28 kilometer yang menghubungkan pusat daerah Woodlands dengan Taman Woodlands Waterfront.
Encik Ong juga berikar bagi setiap projek yang diusahakan oleh pasukan di Sembawang, ia akan memberikannya "kasih sayang dan jagaan" serta memastikan projek itu merangkumi ciri-ciri khas kawasan undi tersebut.
Sementara itu, pasukan NSP yang terdiri daripada Encik Spencer Ng, 40 tahun, Encik Sebastian Teo, 73 tahun, Encik Ivan Yeo Tiong Boon, 72 tahun, Encik Yadzeth Hairis, 57 tahun dan calon kali pertama, Encik Sathin Ravindran, 27 tahun.
Encik Ng, Encik Yadzeth dan Encik Sathin mewakili parti itu dalam siaran tersebut.
Encik Ng turut membentangkan perubahan yang akan dilakukan pasukannya di peringkat nasional dan peringkat kawasan undi sekiranya mereka memenangi pilihan raya kali ini. Ini termasuk memansuhkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh India-Singapura jika ia didapati mewujudkan persaingan yang tidak adil bagi karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) tempatan.
Mengenai rancangannya untuk Sembawang, Encik Ng berkata parti itu akan membina lebih banyak kemudahan bebas hadangan untuk golongan kurang upaya dan mengadakan sesi bertemu penduduk secara fizikal dan juga maya.
GRC Sembawang mempunyai lebih 147,800 pengundi yang layak.
USUL PAP
Hab masyarakat Sembawang Kita akan dibina yang bakal dilengkapi dengan pusat penjaja, kolam renang, gim, dewan sukan tertutup, kemudahan-kemudahan jagaan kanak-kanak dan jagaan warga tua serta poliklinik yang dikelilingi pokok buah-buahan serta kebun bercucuk tanam organik.
Kampus jagaan kesihatan Woodlands juga sedang dibina. Dengan 2,200 katil, ia dijangka adalah salah satu kemudahan perubatan terbesar di Singapura, kata Dr Lim.
Penghubung taman sepanjang 28 kilometer juga akan dibina dengan laluan berbasikal dan berjalan kaki yang menghubungkan pusat daerah Woodlands dengan Woodlands Waterfront.
“Namun kisah Sembawang bukan setakat tentang pembangunan prasarananya," kata Cik Mariam dalam bahasa Melayu sambil menambah bahawa ia juga adalah mengenai pembangunan "jati diri" bandar itu.
Bercakap dalam bahasa Mandarin, Cik Poh menarik perhatian kepada kesulitan yang dihadapi para penduduk akibat pandemik COVID-19. Bagi mereka yang dinafikan subsidi pemerintah, beliau berkata pasukan itu sudahpun menggunakan dana kebajikan masyarakat untuk meringankan sebahagian perbelanjaan mereka seperti menyediakan baucar beli-belah serta makanan.
Bercakap dalam bahasa Tamil, Encik Nair berkata walaupun Sembawang sudah berkembang sejak tahun-tahun awalnya sebagai sebuah kampung, ia tetap berpegang teguh pada warisannya dengan melestarikan kawasan seperti Taman Mata Air Panas Sembawang dan pantai Sembawang.
USUL NSP
Encik Ng berkata parti itu mahu menjadikan perumahan dimampui untuk generasi Singapura akan datang. Ia mahu memberikan subsidi untuk memiliki sebuah flat. Parti itu juga ingin melakukan kajian untuk menambah ruang yang sesuai didiami dalam flat Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB).
Beliau berkata parti itu juga mahu menghentikan kenaikan pada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang dijangka naik dari 7 peratus kepada 9 peratus pada sekitar tahun 2022 hingga 2025. Ia juga ingin menggugurkan GST untuk keperluan asas seperti beras, minyak masak dan susu formula bayi.
Di peringkat tempatan, Encik Ng mengatakan parti itu akan membina kemudahan mesra warga tua di kawasan perumahan dan umum. Ini termasuk palang memegang, tangga rendah dan sepasang bangku rehat bagi setiap 150 meter di sepanjang laluan pejalan kaki utama yang berbumbung.
Encik Ng berkata partinya juga mahu memasang sel suria untuk menjana tenaga di kemudahan biasa bagi merendahkan kos penyenggaraan buat penduduk.
Bercakap dalam bahasa Melayu, Encik Yadzeth berkata kos sara hidup sudah meningkat bagi rakyat Singapura. Kos jagaan kesihatan juga meningkat sehingga rakyat Singapura takut untuk jatuh sakit, katanya.
Encik Sathin pula berkata lebih banyak pertolongan boleh dihulurkan kepada keluarga yang menghadapi masalah kewangan agar anak-anak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka dan bukannya berusaha untuk memenuhi keperluan di rumah. Beliau juga menggesa agar lebih banyak geran diberikan kepada pelajar peringkat pengajian tinggi agar lebih ramai rakyat Singapura berpeluang melanjutkan pelajaran mereka.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.