Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siaran Politik GRC Bishan-Toa Payoh: PAP bangkitkan isu pekerjaan, program masyarakat; SPP gesa Parlimen 'seimbang'

Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Rakyat Singapura (SPP) sudah menyampaikan ucapan masing-masing bagi Siaran Politik Kawasan Undi bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Bishan-Toa Payoh pada Jumaat (3 Jul). 

Anggaran Waktu Membaca:
Siaran Politik GRC Bishan-Toa Payoh: PAP bangkitkan isu pekerjaan, program masyarakat; SPP gesa Parlimen 'seimbang'

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dan calon Part Rakyat Singapura (PSP) Melvyn Chiu berucap semasa siaran politik GRC pada 3 Jul 2020.

Diterbitkan : 04 Jul 2020 12:55AM Dikemas Kini : 04 Jul 2020 12:57AM

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Rakyat Singapura (SPP) sudah menyampaikan ucapan masing-masing bagi Siaran Politik Kawasan Undi bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Bishan-Toa Payoh pada Jumaat (3 Jul).

Kesemua empat calon PAP – Menteri Pertahanan Ng Eng Hen, Encik Chee Hong Tat, Encik Saktiandi Supaat dan Encik Chong Kee Hiong – menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Melayu.

Pasukan SPP pula diwakili oleh ketua parti Steve Chia, naib pengerusi Williiamson Lee dan Encik Melvyn Chiu. Encik Chia dan Encik Chiu menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris, manakala Encik Lee berucap dalam bahasa Mandarin.

Pasukan PAP memulakan siaran tersebut dengan menyampaikan ucapan mereka.

PAP: LINDUNGI PEKERJAAN, PASTIKAN PELUANG YANG SAKSAMA

Dalam ucapannya, Dr Ng yang berucap dalam bahasa Inggeris dan Mandarin menarik perhatian bahawa penularan COVID-19 sudah menjejas teruk ekonomi negara.

Pemerintah, menurut Dr Ng, sudah berjanji yang ia akan berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan pemberhentian pekerja termasuk langkah-langkah luar biasa untuk mengeluarkan S$50 bilion daripada rizab negara untuk membantu syarikat-syarikat melalui sokongan gaji.

Golongan individu yang bekerja sendiri turut dibantu melalui skim-skim tersebut.

Sungguhpun demikian, sesetengah syarikat dan perusahaan mungkin tidak dapat bertahan. Sesetengah penduduk mungkin hilang mata pencarian dan keluarga mereka juga semakin tertekan, kata Dr Ng.

"Marilah kita sama-sama membantu para penduduk mengharungi masa sukar ini," kata Dr Ng. "Khususnya bagi mereka yang mengalami kesulitan dari segi kewangan, kami berjanji akan membantu anda. Jika mereka mempunyai anak-anak, kami mahu membantu mereka melalui biasiswa masyarakat, ComCare dan dana kebajikan."

Encik Chee yang berucap dalam bahasa Inggeris dan Mandarin menambah bahawa keutamaan nombor satu pemerintah adalah pekerjaan bagi rakyat Singapura.

Menurut beliau, pemerintah sudah menubuhkan Majlis Pekerjaan Nasional bagi memastikan rakyat Singapura dapat terus bekerja. "Inilah fokus saya di MTI (Kementerian Perdagangan dan Perusahaan) dan MOE (Kementerian Pendidikan), bekerja dengan rakan-rakan sekerja di sana untuk mewujudkan pekerjaan termasuk dalam sektor-sektor yang berkembang seperti jagaan kesihatan, pendidikan awal kanak-kanak serta latihan dan pendidikan orang dewasa," kata beliau lagi.

Beliau turut mendedahkan bahawa Pusat Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited akan ditubuhkan di Bishan dan Toa Payoh untuk menganjurkan pameran pekerjaan dan menawarkan khidmat berkaitan dengan pekerjaan.

Pasukan PAP turut menyentuh tentang isu-isu perbandaran, dengan Dr Ng menggariskan kemajuan yang dicapai sepanjang lima tahun lalu. Ini termasuk mengubah elok pasar, laluan berbumbung yang baru serta sebuah kelab masyarakat baru yang dibina di Bishan.

Encik Chong yang berucap dalam bahasa Inggeris dan Mandarin yang juga pengerusi Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh berkata banyak program sudah dilaksanakan dalam masyarakat bagi memastikan peluang yang adil dan saksama bagi setiap penduduk.

Beliau turut menarik perhatian kepada bagaimana mereka saling bekerjasama dengan rakan-rakan masyarakat bagi program-program bimbingan untuk kanak-kanak daripada keluarga yang kurang bernasib baik.

Encik Saktiandi yang berucap dalam bahasa Inggeris dan Melayu menekankan bahawa hampir 4,000 penduduk di GRC tersebut sudah menerima dermasiswa dan biasiswa tanpa bon melalui pembiayaan dana masyarakat sejak lima tahun lalu.

"Membina kejiranan yang kukuh dan menjalin semangat kemasyarakatan yang muhibah adalah benteng pertahanan pertama daripada krisis yang dihadapi sekarang," tegas Encik Saktiandi.

SPP: PENTING SEKAT KUASA PAP LAKSANA DASAR 

Encik Chia yang juga setiausaha agung SPP menegaskan bahawa parti itu menampilkan 'pasukan yang kecil tapi kuat' yang mengutamakan kepentingan penduduk.

Encik Chia juga berikrar akan berkhidmat sebagai AP sepenuh masa jika dipilih kelak.

Beliau turut menekankan bahawa adalah penting untuk menyekat PAP daripada melaksanakan dasar-dasarnya dan "meminda perlembagaan untuk memberikan mereka kelebihan".

Merujuk kepada pilihan raya presiden yang lalu, Encik Chia mendakwa bahawa pemerintah "meneruskan dengan alasan mereka" untuk memperuntukkan pilihan raya tersebut bagi calon-calon Melayu.

Beliau turut menegaskan bahawa perlu diadakan lebih banyak perbincangan dan perbahasan mengenai dasar-dasar dan isu-isu di Parlimen sebelum ia diluluskan.

Beliau juga menuduh pemerintah gagal menghuraikan banyak bidang yang menimbulkan keprihatinan seperti kos sara hidup yang tinggi, gaji yang tidak naik-naik dan ketaksamaan pendapatan.

Bishan-Toa Payoh dengan 101,366 pengundi, adalah GRC yang paling kecil dari segi jumlah pengundi. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/AW/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan