Siaran langsung pertama sidang Parlimen pikat lebih 80,000 tontonan
Sidang Parlimen yang disiarkan secara langsung buat julung-julung kalinya berhasil memikat lebih 80,000 tontonan YouTube setakat sehingga Selasa (5 Jan), dengan sidang tersebut berlangsung selama dua hari.
SINGAPURA: Sidang Parlimen yang disiarkan secara langsung buat julung-julung kalinya berhasil memikat lebih 80,000 tontonan YouTube setakat sehingga Selasa (5 Jan), dengan sidang tersebut berlangsung selama dua hari.
Khidmat penstriman bagi sidang tersebut disediakan melalui saluran YouTube Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI).
Setakat 11.45 malam pada Selasa, sidang Parlimen pada Isnin lalu meraih lebih 50,700 tontonan melalui penstriman dengan tafsiran bahasa Inggeris dan kira-kira 15,500 tontonan menerusi penstriman biasa; manakala sesi pada Selasa pula menarik hampir 9,000 tontonan bagi tafsiran dalam bahasa Inggeris dan sekitar 7,700 tontonan bagi penstriman biasa.
Semasa sidang Parlimen pada September lalu, Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran berkata bahawa Pemerintah "secara prinsip" bersetuju untuk menyiarkan sidang Parlimen secara langsung.
Ini setelah sebilangan Anggota Parlimen dan orang ramai berkali-kali menggesa Pemerintah supaya menyiarkan prosiding Parlimen secara terbuka.
Pada Isnin, Encik Iswaran memberitahu Parlimen bahawa Pemerintah bersetuju untuk menyiarkan secara langsung sidang Parlimen "memandangkan trend global dan teknologi kini menjadikan penstriman lebih mudah dilakukan dan membolehkan badan-badan perundangan di seluruh dunia untuk berbuat demikian".
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan AP MacPherson, Tin Pei Ling mengenai hal itu dan bagaimana untuk mengurangkan kesan penstriman pada mutu dan nada perbahasan.
Menulis di Facebook pada petang Selasa, Encik Iswaran memuat naik pautan ke siaran langsung di laman YouTube MCI dan mengusulkan cara-cara lain untuk rakyat Singapura mengakses sidang parlimen.
"Apa pun perubahannya, kita mesti mempertahankan kewibawaan dan integriti Parlimen sebagai wadah yang serius untuk membahaskan isu-isu peringkat nasional," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.