Siaran langsung 64 perlawanan Piala Dunia 2018 disiarkan percuma di 55 kelab masyarakat
Para peminat bola sepak yang sedang mencari tempat untuk berkumpul dan menonton perlawanan Piala Dunia 2018 kini boleh berbuat demikian di 55 kelab masyarakat merata Singapura, umum Persatuan Rakyat (PA) hari ini (5 Jun).
SINGAPURA: Para peminat bola sepak yang sedang mencari tempat untuk berkumpul dan menonton perlawanan Piala Dunia 2018 kini boleh berbuat demikian di 55 kelab masyarakat merata Singapura, umum Persatuan Rakyat (PA) hari ini (5 Jun).
Ia akan bekerjasama dengan Singapore Pools, Singtel dan Starhub untuk menyiarkan 64 perlawanan 'live' di kelab-kelab masyarakat secara percuma, menurut PA.
Ini merupakan Piala Dunia ketiga berturut-turut yang disiarkan di kelab-kelab masyarakat.
Perlawanan pertama antara tuan rumah Rusia dengan Arab Saudi pada 14 Jun ini akan disiarkan di 40 kelab masyarakat dan Hab Tampines Kita. Perlawanan-perlawanan lain sepanjang tempoh sebulan Piala Dunia berlangsung akan disiarkan di pelbagai kelab masyarakat dan Hab Tampines Kita.
Ini akan "membolehkan orang ramai untuk berkongsi minat mereka terhadap bola sepak, tidak kira kaum atau latar belakang untuk berkumpul dan mengeratkan persahabatan," menurut PA.
"Kami gembira dapat menawarkan siaran langsung ini ... Kami sudah menerima banyak maklum balas positif dan menyaksikan semangat masyarakat yang hebat. Meskipun Piala Dunia hanya diadakan setiap empat tahun, ia berupaya menyatukan orang ramai tidak kira usia dan kaum, sedang mereka menyokong pasukan kegemaran masing-masing," kata Cik Pearly Seah, pengarah belia dan sukan PA.
Selain siaran langsung secara percuma, PA juga akan menyediakan kegiatan lain seperti pameran bola sepak meja Subbuteo di Kelab Masyarakat Pek Kio, sesi uji bakat di The Serangoon dan cabaran tendangan penalti di Hab Tampines Kita.
Para penduduk digalak menghubungi kelab masyarakat secara langsung bagi jadual siaran langsung terkini, tambah PA lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.