Siaran calon Presiden pada 24 dan 30 Ogos mulai 7 malam
Encik Ng Kok Song, Encik Tharman Shanmugaratnam dan Encik Tan Kin Lian menyampaikan ucapan selepas disahkan sebagai calon presiden pada 22 Ogos 2023. (Gambar-gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)
SINGAPURA: Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Rabu (23 Ogos) memberikan perincian siaran calon presiden pada 24 Ogos dan 30 Ogos.
Setiap calon diberi peluang untuk menyampaikan ucapan selama 10 minit yang disiarkan di 19 saluran televisyen dan radio dalam empat bahasa rasmi.
Pilihan Raya Presiden pada Jumaat (1 Sep) depan bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Encik Ng Kok Song, Encik Tharman Shanmugaratnam dan Encik Tan Kin Lian.
Calon boleh memilih untuk bercakap dalam mana-mana bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu atau Tamil.
Mediacorp akan menyediakan suara latar dan sari kata mengikut skrip yang diberikan calon.
Para calon akan berucap mengikut urutan nama mereka dalam daftar pilihan raya - Encik Ng Kok Song dahulu, diikuti oleh Encik Shanmugaratnam Tharman dan kemudian Encik Tan Kin Lian.
Aturan berucap bagi siaran ucapan kedua akan diubah dengan Encik Tan bermula dulu, diikuti oleh Encik Tharman dan kemudian Encik Ng.
Siaran dalam bahasa Inggeris ucapan para calon presiden itu adalah pada jam 7.00 malam di saluran CNA dan radio.
Siaran pada 9:30 malam pula adalah di saluran TV Suria dan Channel 5 serta stesen-stesen radio Warna 942, Class 95 dan Gold 905.
Berikut butirannya:

Selain itu, Channel News Asia (CNA) akan menyiarkan Forum Presiden pada Isnin (28 Ogos) di saluran televisyen, Youtube dan Facebook secara langsung.
Kempen Pilihan Raya Presiden tamat pada 30 Ogos.
31 Ogos ialah Hari Bertenang sebelum Hari Mengundi pada 1 September.
Kesemua 1,200 pusat mengundi akan dibuka mulai pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam.
Semua rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas wajib mengundi.
Tahun ini kira-kira 2.7 juta orang layak mengundi.
Jumlah itu 55,000 lebih ramai berbanding semasa Pilihan Raya Umum pada 2020.
Penduduk boleh memeriksa pusat mengundi mereka menerusi akaun SingPass masing-masing.
Buat pertama kalinya, rakyat Singapura di luar negara boleh membuat pilihan mereka menerusi undi pos.
Kempen pilihan raya selama sembilan hari bermula dengan setiap calon cuba memikat hati pengundi dengan cara mereka sendiri.
Poster-poster menampilkan Encik Tharman Shanmugaratnam sudah kelihatan di pelbagai daerah, termasuk Hougang, Tampines dan Choa Chu Kang.
Kempen Encik Tharman tertumpu kepada Saling Menghormati dengan simbol nanas untuk Pilihan Raya Presiden sebagai melambangkan kemakmuran dan kemurahan rezeki.
Encik Ng Kok Song pula memilih simbol tapak tangan dengan bentuk jantung bagi memaparkan masyarakat Singapura yang berbilang bangsa dan agama, tetap bersatu sebagai rakyat Singapura.
Encik Ng Kok Song berkata, slogan kempen pilihan raya beliau ialah Bersatu Untuk Masa Depan Kita.
Bagi Encik Tan Kin Lian pula, slogan kempennya ialah Kembalikan Kepercayaan, Berikan Harapan.
Lambangnya ialah sekuntum bunga yang dijunjung empat orang bagi mencerminkan pelbagai kaum di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.