Siapakah nanti juara peraduan menyanyi 'Suara' Wisma Geylang Serai?
Pertandingan adubakat Suara Wisma Geylang Serai (WGS) yang diadakan buat julung-julung kalinya, berjaya menarik 450 penyertaan meliputi pelbagai usia dan bangsa.
SINGAPURA: Pertandingan adubakat Suara Wisma Geylang Serai (WGS) yang diadakan buat julung-julung kalinya, berjaya menarik 450 penyertaan meliputi pelbagai usia dan bangsa.
Di pusingan separuh akhir yang berlangsung pada Ahad (8 Dis), hanya 9 peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.
"Keseluruhannya saya rasa pertandingan ini amat sengit pasal saya bersaing dengan yang sudah matang lagi, dalam bidang nyanyian ini," kata Cik Azra Zulaikha Razali, antara finalis yang bakal melangkah ke peringkat akhir.
Penyertaan bagi pertandingan itu dibuka pada bulan Oktober, dengan para pemohon mengirimkan nyanyian mereka selama 1 minit yang dimuat naik melalui Instagram. Sambutan yang diterima amat baik sehinggakan berjaya menarik minat peserta antara 12 hingga 52 tahun.
KONTRAK RAKAMAN LIFE RECORDS, BAUCAR S$5,000 JADI REBUTAN
"Masyarakat Melayu Singapura amat sinonim dengan industri muzik tanahair. Kami di WGS ingin mencungkil bakat-bakat yang menyerlah untuk menjadikan mereka bintang," kata Pengurus Besar WGS, Encik Nur Effendi Md Esa.
"Setelah berakhir pertandingan, kami akan terus memupuk bakat-bakat ini dan berkolaborasi dengan mereka dalam beberapa acara anjuran kami tahun hadapan," tambah beliau mengenai potensi 'bintang-bintang' yang bakal digilap.
Hadiah yang ditawarkan cukup lumayan. Tiga tempat teratas masing-masing bakal menerima baucar membeli belah Harvey Norman bernilai S$5,000, S$3,000 dan S$1,000. Lebih menarik lagi sebuah kontrak rakaman bersama Life Records turut ditawarkan.
Bagi menajamkan lagi bakat mereka, semua finalis akan menjalani sesi latihan dengan guru vokal dan penyanyi mapan, Ann Hussein. Beliau bersama-sama penyanyi dan penggubah lagu, Didicazli menaruh harapan tinggi buat para finalis di peringkat akhir nanti.
"Dari segi vokal, tonasi yang baik, kawalan, rasa atau emosi persembahan termasuk penyampaian dan interpretasi," kata Ann, nama yang tidak asing lagi dalam mengadili pertandingan-pertandingan lain seperti SG Mania dan Singapore Idol.
Didicazli menambah: "Saya ingin mencari suara dan bakat yang kita boleh jadikan artis rakaman dan bintang untuk masa-masa akan datang."
Peringkat akhir Suara Wisma Geylang Serai akan berlangsung pada 18 Januari nanti, bersempena dengan sambutan ulang tahun pertama WGS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.