Skip to main content

Singapura

Siapakah Lum Kok Seng, nama baharu dalam kes rasuah Iswaran

Anggaran Waktu Membaca:
Siapakah Lum Kok Seng, nama baharu dalam kes rasuah Iswaran

(Gambar: Lum Chang, CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 25 Mar 2024 05:19PM Dikemas Kini : 26 Mar 2024 01:55PM
SINGAPURA: Mantan Menteri Pengangkutan Singapura S Iswaran dikenakan tuduhan baharu pada Isnin (25 Mac) kerana didakwa menerima barangan berharga semasa menjadi penjawat awam.

Berdasarkan kertas tuduhan, barangan tersebut, dikatakan bernilai S$18,956.94 keseluruhannya, dan diterima daripada seorang lelaki bernama Lum Kok Seng,
SIAPA LUM KOK SENG?

Mediacorp sudah bertanya kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) sama ada ia sedang menyiasat Encik Lum, seorang warga Singapura. Namanya tidak terdapat dalam senarai perbicaraan badan kehakiman.

Dikenali sebagai Encik David Lum Kok Seng di laman web syarikatnya, beliau adalah pengarah urusan syarikat Lum Chang Holdings yang tersenarai di Bursa Singapura. Syarikat tersebut mempunyai anak syarikat dalam sektor binaan, pembangunan hartanah dan pelaburan.

Encik Lum menjadi pengarah urusan sejak 1 September 1985. Beliau juga merupakan pengarah di beberapa anak syarikat, termasuk Lum Chang Building Contractors, Lum Chang Properties, Lum Chang Property Investments dan Lum Chang Asia Pacific.

Menurut laman web Lum Chang, Encik Lam mempunyai lebih daripada 40 tahun pengalaman dalam bidang tersebut dan "mengetuai usaha kumpulan itu meluaskan perniagaannya di Singapura, Malaysia dan United Kingdom.

Saudara lelakinya, Raymond Lum Kwan Sung adalah pengerusi eksekutif Lum Chang Holdings sejak 1984.

Encik Lum mempunyai dua anak lelaki, Adrian Lum Wen-Hong dan Kelvin Lum Wen-Sum. Kedua-duanya juga pengarah di syarikat tersebut.

Di luar rangkaian Lum Chang, Encik David Lum Kok Seng duduk dalam lembaga pengarah Sekolah Tinggi Perempuan Nanyang (NYGH).

PERNIAGAAN LUM CHANG

Laman web Lum Chang Holdings menyenaraikan Lum Chang Building Contractors sebagai salah satu anak syarikatnya dalam perniagaan binaan, serta Lum Chang Interior dan Lum Chang Brandsbridge.

Lum Chang Building Contractors pernah terlibat dalam projek pembinaan bersama pemerintah Singapura. Buat masa ini, ia mempunyai dua projek bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Projek pertama adalah tender yang diberikan pada 2016 bagi kerja-kerja tambahan dan ubah suai di Stesen Tanah Merah serta jejambat sedia ada. Ini termasuk menambah sebuah platform, yang dijangka siap tahun ini, serta ruang legar di stesen Laluan Timur-Barat.

Kontrak tersebut bernilai S$325 juta.

Projek yang lagi satu diberikan pada 2018 dan melibatkan pembinaan bahagian sepanjang 1.95 kilometer di (Terowong) Koridor Utara Selatan (NSC) antara Ang Mo Kio Ave 3 dan Ang Mo Kio Ave 9.

Menurut kenyataan media, kontrak itu bernilai S$799 juta.

LTA tidak pernah memberi sebarang kontrak kepada Lum Chang Building Contractors sejak 2019, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan selepas Encik Iswaran dikenakan tuduhan pada Isnin.

Sebelum ini, Lum Chang Building Contractors mereka bentuk dan membina stesen-stesen MRT lain, termasuk Stesen MRT Bukit Panjang di laluan Downtown serta terowongnya.

Selain LTA, Lum Chang Building Contractors pernah menjalankan projek bersama agensi air negara PUB.

PERISTIWA LAIN YANG LIBATKAN LUM CHANG

Lum Chang Building Contractors juga pernah dituduh melanggar
Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WHSA) yang mengakibatkan kematian seorang pekerja hijrahan, Shajahan Mohammad.

Syarikat tersebut didakwa di Mahkamah Negara pada 15 Disember 2020 atas kejadian itu, di mana ia merupakan kontraktor utama bagi kakitangan syarikat binaan BLT Geoworks, di sebuah tapak kerja dekat persimpangan Upper Changi Road East dan Koh Sek Lim Road.

Menurut kertas dakwaan Lum Chang Building Contractors gagal mengambil langkah-langkah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan kakitangan, yang menyebabkan kematian Encik Shajahan.

Pekerja Lum Chang Building Contractors, Ong Yeng Shen, yang menjadi pegawai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, juga didakwa.

Kes Ong akan dibicarakan pada 28 Mac, manakala perbicaraan syarikatnya dijadualkan pada 16 April.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita