Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siapakah golongan lebih berisiko & haruskah anda bimbang tentang cacar monyet?

Individu dengan sistem imun yang mudah terjejas dengan gejala penyakit lebih berisiko dijangkiti cacar monyet yang teruk.

Anggaran Waktu Membaca:
Siapakah golongan lebih berisiko & haruskah anda bimbang tentang cacar monyet?

Vesikel cacar monyet di tangan seorang individu yang dijangkiti penyakit itu. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 10 Jul 2022 07:15PM Dikemas Kini : 10 Jul 2022 07:16PM
SINGAPURA: Individu dengan sistem imun yang mudah terjejas dengan gejala penyakit lebih berisiko dijangkiti cacar monyet yang teruk.

Namun, peluang untuk merebakkan penyakit itu dalam kalangan masyarakat awam adalah "amat tipis", menurut para pakar.

Virus yang menyebabkan cacar monyet disebarkan dari manusia ke manusia melalui titisan pernafasan atau cecair badan yang banyak, terutama daripada ruam dan kudis serta hubungan intim termasuk memeluk, bercium dan hubungan seks (persetubuhan), tambah mereka.

Singapura melaporkan empat kes penyakit cacar monyet - tiga kes import dan satu jangkitan tempatan - sejak Jun.
 
Bagaimanapun, peluang dijangkiti penyakit itu "amatlah rendah", kata pakar penyakit berjangkit, Leong Hoe Nam, yang mengendalikan klinik swasta di Hospital Novena Mount Elizabeth.

“Untuk terjangkit daripada individu di Singapura dalam konteks tempatan, peluangnya sangat tipis melainkan pasangan anda sudah terjangkit," kata beliau.

Dr Leong menambah sekalipun dalam sebuah kereta api MRT yang sesak, "kontak fizikal yang anda ada tidak mencukupi (untuk penyakit itu menular)".

Dari 1 Januari hingga 4 Julai tahun ini, lebih 6,000 kes cacar monyet yang disahkan makmal dan tiga kematian dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) daripada 59 negara, wilayah dan kawasan.

SOALAN: Siapa berisiko lebih tinggi terjangkit?

Seperti kebanyakan penyakit berjangkit, mereka yang lebih berumur atau sangat muda atau mempunyai sistem imun yang mudah terjejas dengan gejala penyakit berisiko lebih tinggi dijangkiti, kata Dr Khoo Yoong Khean dari Pusat bagi Kesediaan Penularan Duke-NUS.

Pegawai saintifik itu menambah, insiden dalam penularan semasa ini nampaknya lebih cenderung berlaku dalam kalangan lelaki yang mengadakan hubungan seks sesama jenis.

"Itu tidak bermakna mereka lebih berisiko tinggi menjangkiti penyakit itu tetapi penyakit berkenaan buat masa ini menular dalam kalangan masyarakat tersebut," terangnya.

Beliau menambah satu sebab yang mungkin mengapa ia lebih dikesan dalam kalangan masyarakat tertentu ini adalah anggotanya lebih kerap menjalani ujian dan pemeriksaan kesihatan, membawa kepada tahao kewaspadaan serta pengesanan yang lebih tinggi.

Beliau menambah meskipun cacar monyet boleh menular menerusi hubungan seks, ia tidak dianggap sebagai penyakit kelamin.

“Walaupun populasi yang dilaporkan nampaknya adalah lelaki pada perkadaran yang tidak seimbang dan lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki, tiada nasihat khusus untuk masyarakat itu yang melebihi nasihat umum agar tidak bersentuhan dengan orang yang menunjukkan tanda-tanda dijangkiti penyakit tersebut,” kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary di Parlimen awal minggu ini.

Menurut para pakar, vaksinasi cacar menawarkan sedikit silang kekebalan.

Dr Puthucheary berkata vaksin berkesan sehingga 85 peratus dalam usaha mencegah cacar monyet tetapi ia ada kesan sampingannya.

“Bagi penduduk umum, risiko komplikasi melebihi manfaat kerana penduduk umum berisiko rendah untuk dijangkiti penyakit tersebut," kata beliau.

SOALAN: Sejauh mana cacar monyet berbahaya?

Dr Khoo berkata biarpun terdapat kewaspadaan secara am terhadap mana-mana penyakit, pihak berkuasa dan para saintis masih sedang meneliti bagaimana penularan semasa ini akan merebak dan apakah corak epidemiologinya.

"Cacar monyet bukanlah satu penyakit baru, maka itu terdapat diagnostik dan protokol rawatan yang sudahpun ditetapkan bagi merawatnya serta terdapat sedikit pengalaman dalam menguruskan penyakit itu," terangnya.

Sungguhpun demikian, beliau menarik perhatian bahawa keadaannya sudah berubah, dengan WHO sedang menimbangkan sama ada untuk mengisytiharkan penyakit itu sebagai Darurat Kesihatan Awam Kebimbangan Antarabangsa, serupa dengan bagaimana COVID-19 digolongkan.

“Nasihat saya adalah untuk berwaspada terhadap simptom-simptom jangkitannya. Jika anda atau seseorang yang anda kenali menunjukkan gejala cacar monyet, cepat-cepat dapatkan rawatan perubatan. Ini juga akan membantu pihak berkuasa untuk melakukan langkah-langkah intervensi kesihatan awam seperti pengesanan kontak bagi menghentikan penularannya."

Dr Leong berkata bagi mereka yang sihat dan dijangkiti penyakit itu, termasuk individu yang mempunyai penyakit kronik, mereka akan mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk pulih sendiri dan tiada rawatan diperlukan.

“Jika anda yang terjangkit, maka masalah besar adalah kesulitan untuk mengasingkan diri selama 21 hari."

Beliau menarik perhatian bahawa individu dengan sistem imun yang mudah terkesan dengan gejala penyakit, seperti sesetengah pesakit barah dan pesakit pemindahan organ, mungkin mengalami kesan samping yang lebih teruk.

Sebelum ini, MOH menyatakan peratusan kecil mereka yang dijangkiti cacar monyet boleh sakit tenat atau meninggal dunia. Selain individu dengan sistem imun yang mudah terjejas dengan gejala penyakit, mereka yang "secara khususnya mudah terjejas" kepada komplikasi adalah kanak-kanak kecil dan wanita hamil.

Menurut WHO, nisbah kes kematian adalah sekitar 3 hingga 6 peratus dalam kalangan kes yang dilaporkan baru-baru ini.

SOALAN: Bagaimana orang ramai boleh melindungi diri mereka?

Terus mengamalkan piawai tinggi menjaga kebersihan diri termasuk kerap mencuci tangan anda misalnya selepas menggunakan tandas atau apabila tangan anda kotor, nasihat Dr Michael Wong, seorang doktor keluarga di Raffles Medical.

Orang ramai juga seharusnya mengelakkan sentuhan langsung dengan luka kulit individu atau haiwan yang terjangkit, baik yang masih hidup mahupun sudah mati, selain objek-objek yang mungkin sudah tercemar dengan cecair berjangkit seperti pakaian kotor atau cadar tilam atau tuala yang digunakan oleh individu terjangkit.

Elakkan memakan daging haiwan liar dan menjauhi haiwan liar yang boleh membawa virus itu, tambah beliau. Virus itu dikesan pada haiwan seperti tupai dan spesies monyet yang berbeza.

Pelawat yang pulang ke tanah air, terutamanya dari kawasan dengan penularan cacar monyet, harus mendapatkan rawatan perubatan dengan serta-merta jika mereka mengalami gejala seperti demam panas secara tiba-tiba, bengkak pada nodus limfa dan ruam dalam tempoh tiga minggu selepas mereka kembali ke negara ini.

"Mereka seharusnya menghubungi klinik sebelum mengunjunginya supaya langkah berjaga-jaga khas boleh diambil untuk melindungi orang lain," katanya lagi.

Mereka juga harus memberitahu doktor tentang sejarah perjalanan mereka baru-baru ini.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan