SIA uji app baru bagi sahkan hasil ujian COVID-19 & status vaksinasi
Singapore Airlines (SIA) sudah memulakan ujian pada sebuah aplikasi yang berupaya membolehkannya untuk mengesahkan hasil ujian COVID-19 dan maklumat vaksinasi seseorang penumpang dalam usaha syarikat penerbangan itu untuk memudahkan penyambungan perjalanan udara.
SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) sudah memulakan ujian pada sebuah aplikasi yang berupaya membolehkannya untuk mengesahkan hasil ujian COVID-19 dan maklumat vaksinasi seseorang penumpang dalam usaha syarikat penerbangan itu untuk memudahkan penyambungan perjalanan udara.
Proses pengesahan secara digital itu akan menawarkan "cara yang lebih pantas dan selamat" untuk mengesahkan tahap kesihatan seseorang penumpang berbanding protokol sedaia ada dan membantu menunjukkan bahawa orang ramai boleh kembali melakukan perjalanan udara dengan yakin, menurut SIA dalam kenyataan medianya pada Rabu (23 Dis).
Di bawah ujian yang dijalankan itu, yang dijadual bermula pada Rabu, para penumpang pesawat SIA dari Jakarta atau Kuala Lumpur yang menjalani ujian COVID-19 di klinik-klinik terpilih di kedua-dua bandar tersebut akan diberikan sijil digital atau salinan sijil kesihatan dengan kod QR.
Kakitangan daftar masuk lapangan terbang dan penguasa imigresen Singapura kemudian akan mengimbas kod menggunakan aplikasi berkenaan untuk mengesahkan kesahihan sijil tersebut dan memastikan para penumpang mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Para penumpang tanpa sijil digital juga boleh menunjukkan salinan sijil tersebut untuk pengesahan secara manual.
Sekiranya ujian itu berjaya, SIA mungkin akan memperluaskan proses pengesahan kesihatan digital baru itu ke bandar-bandar lain dalam rangkaiannya. Pihaknya juga merancang untuk menyepadukan proses tersebut dengan aplikasi SingaporeAir mulai pertengahan 2021.
Proses pengesahan kesihatan digital SIA itu adalah yang pertama seumpamanya di dunia berdasarkan Pas Perjalanan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), iaitu sebuah platform digital untuk penumpang, menurut syarikat penerbangan itu.
Badan penerbangan global itu mengumumkan bulan lalu bahawa pihaknya sedang membangunkan platform Pas Perjalanan dan akan melancarkan pengunaannya untuk telefon iOS dan Android pada separuh pertama tahun depan.
Di bawah platform Pas Perjalanan IATA, aplikasi Perjalanan Tanpa Sentuhan yang baru akan menggabungkan maklumat pasport dengan sijil ujian dan vaksinasi yang diterima daripada makmal yang mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut. Ia juga akan menggunakan daftar keperluan kesihatan global dan pusat ujian dan vaksinasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.