Skip to main content

Singapura

SIA tangguh pelancaran tempat duduk kelas pertama, niaga di Airbus A350 dek kekangan rantaian bekalan

Singapore Airlines (SIA) menangguhkan pelancaran tempat duduk kelas pertama dan niaga generasi seterusnya dalam pesawat Airbus A350-900 daripada suku kedua 2026 kepada suku pertama 2027.

Anggaran Waktu Membaca:
SIA tangguh pelancaran tempat duduk kelas pertama, niaga di Airbus A350 dek kekangan rantaian bekalan

Sebuah pesawat Singapore Airlines dilihat bergerak melepasi terminal di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 15 April 2024. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) menangguhkan pelancaran tempat duduk kelas pertama dan niaga generasi seterusnya dalam pesawat Airbus A350-900 daripada suku kedua 2026 kepada suku pertama 2027.

"Garis masa yang disemak mencerminkan kekangan rantaian bekalan seluruh industri, serta penangguhan dalam pensijilan salah satu tempat duduk baharu itu," kata jurucakap SIA pada Rabu (6 Mei) dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp.

Naik taraf tempat duduk itu yang diumumkan pada November 2024 - adalah sebahagian daripada program SIA untuk memasang produk kabin jarak jauh serba baharu di 41 pesawat jarak jauh dan ultra-jarak jauh Airbus A350-900.

SIA sebelum ini menyatakan pada November 2024 bahawa produk-produk itu direka daripada asas, dengan susun atur yang luas dan elemen ergonomik yang "memenuhi setiap keperluan pelanggan".

Ia menyatakan pada ketika itu bahawa ia melabur S$1.1 bilion dalam program tersebut, dengan pengubahsuaiannya akan dilakukan oleh SIA Engineering Company di Singapura.

Kabin kelas ekonomi dan ekonomi premium akan diperbaharui, menurut syarikat penerbangan itu.

Pada asalnya, pesawat jarak jauh A350-950 pertama yang diubah suai dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2026 manakala pesawat A350-900ULR akan menyusul pada suku pertama 2027.

Jurucakap SIA menyatakan pada Rabu bahawa pesawat A350-900 yang diubah suai itu dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2027, tertakluk kepada kelulusan kawal selia.

"Kami akan menyediakan kemas kini mengenai permulaan operasi pesawat ultra-jarak jauh SIA A350-900 yang diubah suai pada masa yang sesuai," menurut syarikat penerbangan itu.

Keseluruhan program itu disasarkan selesai menjelang hujung 2030.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita