Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SIA tambah penerbangan ke Jepun, India; muatan penumpang dijangka cecah 81% paras sebelum pandemik jelang hujung 2022

Singapore Airlines (SIA) akan melakukan lebih banyak penerbangan ke Jepun dan India pada bulan-bulan mendatang di tengah-tengah permintaan kukuh bagi perjalanan udara.

Anggaran Waktu Membaca:
SIA tambah penerbangan ke Jepun, India; muatan penumpang dijangka cecah 81% paras sebelum pandemik jelang hujung 2022

Gambar fail pesawat Singapore Airlines. (Gambar: iStock/olyniteowl)

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) akan melakukan lebih banyak penerbangan ke Jepun dan India pada bulan-bulan mendatang di tengah-tengah permintaan kukuh bagi perjalanan udara.

Ia juga akan menambah penerbangan ke Los Angeles dan Paris menjelang Disember 2022 dan meneruskan khidmat langsungnya ke Vancouver.

Bersama dengan penyesuaian yang dilakukan pada rangkaian Scoot, SIA Group menjangkakan muatan penumpang akan mencecah sekitar 81 peratus daripada paras sebelum pandemik menjelang Disember.

Dalam kenyataan medianya pada Selasa (5 Jul), SIA menyatakan ia akan menyediakan khidmat penerbangan harian ke Lapangan Terbang Haneda di Tokyo (SQ634) dan Lapangan Terbang Narita (SQ638) bermula 24 Julai.

"Dengan khidmat harian SQ12 dari Singapura ke Los Angeles melalui Tokyo (Narita), SIA akan mengendalikan tiga khidmat harian ke ibu kota Jepun, naik dari 14 penerbangan setiap minggu," jelasnya.

Bermula 30 Oktober, khidmat harian SQ636 ke Lapangan Terbang Haneda akan disambung semula, sekali gus membawa jumlah penerbangan SIA ke Tokyo kepada 28 seminggu.

Penerbangan harian kedua ke Osaka juga akan disambung semula pada 30 Oktober, manakala penerbangan ke Fukuoka akan ditambah kepada tiga seminggu.

"Dengan khidmat tiga kali seminggu ke Nagoya, muatan operasi SIA ke Jepun akan beroperasi pada tahap 62 peratus daripada paras sebelum pandemik menjelang 30 Oktober 2022," menurut syarikat itu.

Jepun membuka semula sempadannya kepada sebilangan pelancong asing pada bulan Jun, termasuk bagi mereka dari Singapra. Namun mereka mesti mengambil pakej wisata dan ditemani sepanjang perjalanan mereka.

Bagi penerbangan ke India pula, SIA akan melakukan 17 khidmat mingguan secara bertahap-tahap ke Chennai bermula September, naik dari 10 penerbangan setiap minggu.

Ia juga akan menambah khidmat ke Kochi kepada 14 kali seminggu. Sebanyak 16 penerbangan juga disediakan ke Bengaluru dalam seminggu.

Ini akan mengembalikan muatan operasi SIA hampir ke paras sebelum pandemik menjelang 30 Oktober.

SIA juga menambah penerbangan SQ36 ke Los Angeles yang akan bertukar dari khidmat tiga kali seminggu kepada penerbangan harian bermula 30 November, sekali gus membawa khidmat mingguan ke Los Angeles kepada 21, naik dari 17.

Bermula Disember, syarikat penerbangan itu juga akan menambah kekerapan khidmat SQ332 ke Paris bagi melakukan lima penerbangan seminggu, saling melengkapi khidmat harian sedia ada (SQ336) ke ibu kota Perancis itu. Dengan ini, Paris akan menerima 12 penerbangan seminggu.

SIA juga akan menyambung khidmat penerbangan langsung tiga kali seminggu ke Vancouver pada musim sejuk di bahagian utara.

Muatan penumpang SIA mencecah 61 peratus daripada paras sebelum pandemik pada bulan Mei, mencapai sasaran yang ditetapkan pada April.

Lebih 1.7 juta penumpang melakukan penerbangan menaiki SIA dan Scoot pada bulan Mei, naik 14 kali ganda berbanding setahun lalu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan