Skip to main content

Singapura

SIA, syarikat penerbangan Asia lain batalkan penerbangan New York susulan ribut salji

Singapore Airlines (SIA) merupakan antara beberapa syarikat penerbangan Asia yang membatalkan penerbangan yang menuju ke New York dan berlepas darinya sedang wilayah Amerika Syarikat itu bersiap sedia untuk menghadapi ribut salji pada Jumaat (26 Dis).
Anggaran Waktu Membaca:
SIA, syarikat penerbangan Asia lain batalkan penerbangan New York susulan ribut salji
Pesawat Singapore Airlines (SIA) di landasan Lapangan Terbang Changi Singapura pada 3 Mac 2016. (Gambar fail: REUTERS/Edgar Su)

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) merupakan antara beberapa syarikat penerbangan Asia yang membatalkan penerbangan yang menuju ke New York dan berlepas darinya sedang wilayah Amerika Syarikat itu bersiap sedia untuk menghadapi ribut salji pada Jumaat (26 Dis).

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran ribut musim sejuk bagi New York pada awal Jumaat, sambil memberi amaran bahawa salji lebat dijangka turun dari pukul 4.00 petang waktu tempatan pada Jumaat (pukul 5.00 pagi pada Sabtu, waktu Singapura) hingga pukul 1.00 petang pada Sabtu.

Menurut nasihat perjalanan SIA, enam penerbangan berikut dibatalkan. Semua waktu merujuk kepada waktu tempatan:

  • SQ23 berlepas dari New York (John F Kennedy) ke Singapura pada Jumaat pukul 10.05 malam
  • SQ24 berlepas dari Singapura ke New York (John F Kennedy) pada Jumaat pukul 12.10 tengah hari
  • SQ25 berlepas dari New York (John F Kennedy) ke Frankfurt pada Jumaat pukul 8.15 malam
  • SQ26 berlepas dari Frankfurt ke New York (John F Kennedy) pada Jumaat pukul 8.35 pagi
  • SQ21 berlepas dari New York (Newark) ke Singapura pada Sabtu pukul 5.45 petang
  • SQ22 berlepas dari Singapura ke New York (Newark) pada Sabtu pukul 5.30 pagi

“Para pelanggan yang terjejas akibat pembatalan penerbangan akan ditempatkan semula dalam penerbangan alternatif atau boleh memohon bayaran balik penuh bagi bahagian tiket yang tidak digunakan,” tambahnya.

Para pelanggan SIA yang membuat tempahan secara langsung dengan syarikat penerbangan itu boleh memohon bayaran balik secara online. Mereka yang membuat tempahan melalui ejen-ejen pelancongan atau syarikat-syarikat penerbangan rakan kongsi dinasihatkan supaya menghubungi pihak berkenaan secara langsung untuk mendapatkan bantuan.

Lapangan terbang John F Kennedy dan LaGuardia di New York, serta Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, merupakan antara empat lapangan terbang dengan jumlah pembatalan tertinggi pada Jumaat, menurut platform penjejakan penerbangan FlightAware.

Syarikat penerbangan Hong Kong Cathay Pacific mengumumkan pada Jumaat bahawa ia akan mengecualikan yuran tempahan semula dan pemesongan laluan bagi penerbangan yang menuju ke New York dan berlepas darinya susulan ribut salji tersebut. Langkah itu merangkumi tempoh perjalanan antara Khamis hingga Ahad.

Tiket-tiket mesti ditukar sebelum Ahad dan perjalanan perlu diselesaikan pada atau sebelum 31 Januari, menurut syarikat penerbangan itu, sambil menambah bahawa tarikh baharu tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Syarikat penerbangan itu turut membatalkan satu penerbangan — CX840 dari Hong Kong ke Lapangan Terbang John F Kennedy.

Syarikat penerbangan Taiwan, EVA Air, pula memaklumkan ia membatalkan dua penerbangan di antara Taipei dan Lapangan Terbang John F Kennedy di New York berikutan keadaan cuaca.

Syarikat penerbangan Korea Selatan, Korean Air, turut membatalkan penerbangannya pada petang Jumaat dari Lapangan Terbang Incheon ke John F Kennedy.

Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita